SHAH ALAM - Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) pada tahun ini menyediakan peruntukan sebanyak RM10.27 juta bagi melaksanakan operasi pembangunan pekebun kecil getah di Selangor.
Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) RISDA, Md Najip Ishak berkata, pembangunan tersebut meliputi enam teras tutama merangkumi program penanaman getah, pembangunan hasil baharu, pengeluaran hasil termasuk hasil skrap dan lateks, rawatan dan pencegahan penyakit serta bantuan musim tengkujuh.
"Pada masa ini, sejumlah 4,704 pekebun kecil di negeri ini yang bergantung kepada sumber komoditi ini. Ianya menjadi fokus kepada RISDA yang merupakan agensi di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) untuk menambahbaik taraf hidup komuniti ini melalui aspirasi Desa Madani.
"RISDA Selangor setakat ini mengambil langkah proaktif dalam merancakkan pengeluaran getah di negeri ini dengan mengaktifkan kembali 34 hektar kebun getah yang memanfaatkan seramai 28 pekebun kecil dengan melibatkan peruntukan sebanyak RM86,00.
"Iamerupakan inisiatif semasa RISDA dalam meningkatkan produktiviti getah di seluruh negara melalui Program Pemulihan Getah Terbiar (PGT) selaras dengan trend positif pasaran dalam memberikan pendapatan yang lebih baik kepada pekebun kecil," katanya.
Beliau berkata demikian ketika Program Gerakan Kelestarian Komoditi Getah(GKKG) dan Konvensyen Amalan Pertanian Baik (GAP) Peringkat Negeri Selangor yang diadakan pada Khamis di Pejabat RISDA Negeri Selangor.
Program berkenaan turut dihadiri oleh Pengarah Bahagian Pengembangan dan Pemindahan Teknologi, Ramlie Tumin, Pengarah Bahagian Komunikasi Korporat, Laili Husna Othman dan Pengarah RISDA Negeri Selangor, Khairil Harris Abd Khalid.
Menurut Md Najip lagi, RISDA menyeru agar pekebun kecil mengambil peluang untuk mengusahakan kembali mana-mana kebun getah terbiar demi manfaat yang baik kepada semua pihak termasuklah pekebun kecil sendiri termasuklah meningkatkan teknik Amalan Pertanian Baik (GAP) dalam memastikan kebun dapat mengeluarkan hasil yang baik.
"RISDA kini giat menggandakan usaha untuk ‘menghidupkan’ semula 420,000 hektar kebun getah bagi memastikan bekalan getah tempatan mencukupi bagi menampung permintaan pemain industri negara.
"Dalam pada masa sama, ia bakal menyaksikan negara tidak bergantung kepada getah import yang kini dianggarkan bernilai RM6 bilion," katanya.
Jelas beliau, melalui usaha yang dilaksanakan kini, pekebun kecil getah RISDA turut layak untuk menerima pelbagai bantuan dan insentif daripada pelbagai variasi program yang disediakan.
"Ia merangkumi bantuan khidmat nasihat teknikal,input pertanian, prasarana ladang, peningkatan ekonomi melalui keusahawanan dan agromakanan, pembangunan modal insan dan institusi serta pelbagai manfaat lain," kata beliau.
Ujar Md Najip lagi, RISDA amat menggalakkan mana-mana individu yang mempunyai kebun yang kini tidak diusahakan, agar segera menghubungi atau berkunjung ke Pejabat RISDA berhampiran untuk mendapatkan maklumat terkini yang lengkap untuk memastikan kebun mereka kembali menjana sumber pendapatan.
Manakala, kepada individu yang memiliki tanah terbiar dan tidak tahu untuk mengusahakannya turut dialu-alukan untuk menghubungi RISDA untuk mengetahui cara menjadi sebahagian daripada komuniti pekebun kecil RISDA melalui Program Tanam Semula Getah.