[VIDEO] Ibu tunggal bebas tuduhan bunuh anak

Iklan

SEREMBAN - Seorang ibu tunggal dilepaskan dan dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi di sini pada Jumaat daripada pertuduhan membunuh anak perempuannya yang berusia enam tahun, empat tahun lalu.

Hakim, Datuk Rohani Ismail membuat keputusan itu selepas pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap A Mariyammah, 39, di akhir kes pendakwaan.

Iklan
Iklan
Mariyammah bertemu Paul Krishnaraja di luar mahkamah melahirkan rasa syukur dan terima kasih

Beliau berkata, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira keterangan daripada saksi-saksi dan menimbang hujahan dikemukakan daripada pihak pembelaan dan pendakwaan.

"Setelah mendengar keterangan diberikan saksi dan selepas menimbang hujahan dikemukakan kedua-dua pihak serta berdasarkan penilaian menyeluruh atas semua keterangan, saya memutuskan pihak pendakwaan gagal membuktikan satu kes prima facie.

Iklan

"Tertuduh dilepaskan dan dibebaskan tanpa perlu dipanggil untuk membela diri," katanya.

Mengikut pertuduhan, tertuduh pada 5 September 2020 di antara jam lebih kurang 5.30 petang sehingga jam 6.30 petang di Apartment Matahari Height, Jalan Persiaran Senawang 8, Seremban telah membunuh seorang kanak-kanak yang ketika kejadian berusia enam tahun.

Iklan

Berikutan itu tertuduh telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Seramai 13 saksi dipanggil memberi keterangan sepanjang perbicaraan yang bermula tahun 2020.

Tertuduh diwakili peguam, S Paul Krishnaraja dan Amy Chong manakala pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Syamimi Farhana Muhammad A Aziz.

Sementara itu, Mariyammah ditemui pemberita di luar mahkamah melahirkan rasa gembira dan syukur atas keputusan berkenaan.

"Saya gembira kerana saya memang tak buat benda(bunuh) ini. Saya ucapkan terima kasih kepada peguam saya dan selepas ini saya akan dapat tengok anak perempuan saya semula yang berusia sembilan tahun dan lelaki enam tahun,"katanya.