[VIDEO] Wanita didakwa terima lebih RM70,000 pelaburan tidak wujud

Iklan

KUALA LUMPUR - Seorang pengurus tokong mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Jumaat, atas satu pertuduhan menerima deposit lebih RM70,000 daripada seorang wanita tanpa lesen sah, bagi satu pelaburan tidak wujud, antara Januari hingga Mac lalu.

Sum Lai Yoong, 53, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibaca di hadapan Hakim, Azrul Darus.

Lai Yoong (dua dari kanan) dibawa ke Mahkamah Sesyen di sini pada Jumaat, bagi menghadapi satu pertuduhan menerima deposit lebih RM70,000 tanpa lesen sah, bagi satu pelaburan tidak wujud, antara Januari hingga Mac lalu.

Iklan
Iklan

Mengikut pertuduhan, wanita itu didakwa menerima deposit daripada seorang wanita, berjumlah RM70,589.79 tanpa lesen sah, yang diberikan di bawah Seksyen 10 Akta Perkhidmatan Kewangan 2013.

Kesalahan didakwa dilakukan di sebuah pusat beli belah di Taman Mutiara Barat di sini, antara 12 Januari dan 6 Mac lalu.

Iklan

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 137 (1) dan boleh dihukum bawah Seksyen 137 (2) akta sama, membawa hukuman penjara tidak melebihi 10 tahun atau didenda tidak melebihi RM50 juta atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, R Harvind mencadangkan tertuduh diberi ikat jamin sebanyak RM20,000 dengan seorang penjamin.

Iklan

Bagaimanapun, peguam, Luqman Zainal yang mewakili tertuduh, merayu agar kadar itu dikurangkan dengan alasan anak guamnya perlu menyara ibu yang sakit.

Selepas mendengar permohonan daripada kedua-dua pihak, Azrul membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM20,000 dan menetapkan sebutan semula kes pada 13 November depan.