Kebakaran empat kilang tidak sebabkan pencemaran - Exco

Iklan
Asap hitam dari kebakaran kilang di kawasan Perindustrian SILC pada Khamis.

ISKANDAR PUTERI - Kebakaran empat kilang di kawasan Perindustrian SILC di sini pada Khamis, tidak akan menyebabkan berlakunya pencemaran udara.

Exco Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Johor, Ling Tian Soon berkata, ia berdasarkan hasil pemantauan dan siasatan pihak Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Johor yang turut menilai kualiti udara di kawasan berkenaan.

Bacaan terhadap ujian kualiti udara di kawasan kebakaran.

Iklan
Iklan

"Ujian daripada pihak JAS ini dijalankan di tapak kebakaran. JAS juga menjalankan ujian di kawasan yang berdekatan seperti Bukit Indah yang jaraknya kira-kira dua kilometer dari lokasi kebakaran.

"Hasil ujian yang dijalankan, ia tidak menunjukkan sebarang pencemaran kimia yang berlaku di udara,” katanya.

Bacaan terhadap ujian kualiti udara di kawasan kebakaran.

Iklan

Pun begitu, Tian Soon berkata, pihak berkuasa berkaitan masih meneruskan pemantauan di kawasan kejadian dan sekitarnya bagi memastikan kualiti udara serta air selamat.

Katanya, ini disebabkan kebanyakan kilang di kawasan berkenaan merupakan kilang yang menjadi tempat penyimpanan bahan-bahan untuk kegunaan industri.

Tian Soon (tengah)mendengar taklimat ketika melawat ke lokasi kebakaran.

Iklan

"Orang awam menyatakan kebimbangan mereka mengenai kemungkinan berlakunya pencemaran udara akibat bahan kimia selain khuatir air hujan yang berwarna hitam akan menjadikan kawasan sekitar menjadi lebih berbahaya.

"Bagaimanapun, saya nasihatkan orang ramai supaya tidak menyebarkan khabar angin dalam media sosial dan tidak mencetuskan kebimbangan awam, sentiasa dapatkan maklumat yang tepat dan sahih daripada pihak berkuasa," katanya.

Sebelum ini Sinar Harian melaporkan, tiga lelaki warganegara Bangladesh cedera dan dikejarkan ke Hospital Sultanah Aminah (HAS) dalam insiden kebakaran kilang di Kawasan Perindustrian SILC pada pagi Khamis.