PELBAGAI kisah dan hadis palsu yang tersebar luas dalam masyarakat Islam atas nama Nabi Muhammad SAW amat membimbangkan dan boleh membarah sekiranya tiada usaha menyekatnya.
Musyrif Pondok Sungai Durian, Datuk Dr Abdul Basit Abdul Rahman menjelaskan, jika kisah Israiliyyat datangnya daripada orang-orang Yahudi, cerita atau hadis palsu yang disandarkan kepada Rasulullah SAW pula dicipta atau direka oleh segelintir penganut Islam sendiri.
"Hadis atau kisah palsu ini dicipta oleh orang Islam, tidak kira daripada aliran mana. Ada yang datang daripada aliran ahli ibadat kerana mereka mahu berkempen untuk ibadat.
"Mereka sanggup mereka-reka hadis palsu untuk memberi semangat kepada umat Islam dalam beribadat dan ini perbuatan yang salah. Tidak boleh menyandarkan kepada Nabi Muhammad SAW jika bukan daripada Baginda.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama pada webinar bertajuk Di sebalik al-Israiliyyat dan al-Mawdu’at di alam Melayu anjuran Pertubuhan Multaqa Asatizah dan Du’at (Murshid) baru-baru ini.
Dua pakar dalam bidang masing-masing dijemput bagi membahaskan tajuk tersebut iaitu Profesor di Jabatan al-Quran dan al-Hadith, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya, Prof Dr Faisal Ahmad Shah dan Pensyarah Kanan Akademi Pengajian Melayu Universiti Malaya, Dr Ahmad Zahiruddin Mohd Zabidi.
Penyelewengan besar, kesalahan berat
Dr Abdul Basit yang juga dikenali Abu Anas Madani kemudiannya membacakan sebuah hadis, Rasulullah SAW bersabda:
"Sesiapa yang meriwayatkan (menyebarkan) sebuah hadis daripadaku dan meyakini hadis itu palsu, sebenarnya dia juga termasuk salah seorang pendusta." (Hadis Riwayat Muslim)
Beliau kemudian membawakan satu contoh kitab masyhur yang sering menjadi rujukan dan diajarkan di pondok serta masjid namun terdapat banyak hadis palsu di dalamnya iaitu kitab Durratun Nasihin.
"Apabila dibaca dan disemak, ada hadis-hadis yang langsung tidak diberikan darjatnya. Setelah dikaji mengenai hadis-hadis tersebut, ada ulama mengatakan bahawa ia tiada asalnya. Sebagai contoh fadilat solat tarawih pada setiap malam.
"Inilah antara sebabnya banyak kisah palsu tersebar dan ia diajarkan kepada orang ramai tanpa melihat pandangan ulama mengenainya dengan alasan ia terdapat dalam kitab.
"Imam Ibnu Hajar Al-Haitami berkata, adapun berpegang dengan hadis semata-mata apa yang ada di dalam kitab, maka tidak halal baginya untuk berbuat demikian. Sesiapa yang melakukannya, dia akan dikenakan dengan hukuman yang berat,” jelasnya panjang.
Tidak semua sahih dalam kitab
Selain itu katanya, kisah dan hadis palsu turut boleh menjadi fitnah dan bahan ejekan kepada Islam jika masih disebar kepada masyarakat.
Dr Abdul Basit turut mengingatkan kepada penulis-penulis khutbah Jumaat agar bertanggungjawab dalam penulisan khutbah yang dibacakan khatib setiap minggu.
"Tersebarnya hadis-hadis palsu ini juga melalui pena-pena yang tidak cakna akan kesahihan atau semata-mata terjumpa dalam kitab.
"Ia satu kepincangan dalam masyarakat jika penyebaran hadis-hadis palsu ini diteruskan,” hurainya.
Jelas beliau yang juga seorang pensyarah, umat Islam sepatutnya berhati-hati dalam menerima kisah atau hadis yang disampaikan selain menyemaknya terlebih dahulu.
"Perlu melihat sanad yang sahih sebelum menerimanya sebagai hadis,” ujarnya.
Ciri-ciri hadis palsu menurut Prof Dr Muhammad Abu Laith, pengarang kitab Ulum al-Hadis
Sanad:
- Iqrar atau pengakuan daripada perawi tersebut bahawa dia telah mencipta hadis tersebut.
- Terbukti daripada pengakuannya bahawa dia telah berdusta.
- Perawi tersebut terkenal sebagai seorang pemalsu hadis.
Matan:
- Teks hadis bercanggah dengan al-Quran, usul-usul dan kaedah-kaedah agama.
- Teks hadis bercanggah dengan teks hadis sahih yang lain.
- Teks hadis bercanggah ijmak para sahabat.
- Bertentangan dengan naluri, penyaksian dan ilmu sains (penemuan ilmiah moden yang sahih dan tidak bertentangan dengan al-Quran, hadis dan sumber-sumber utama di dalam agama).
- Teks tersebut tidak terdapat di dalam kitab-kitab hadis yang muktabar.
- Kelemahan pada susunan lafaz dan juga makna.
- Terkandung di dalam teks hadis perkara-perkara dilihat melampau yang mustahil bagi seorang Nabi SAW mengucapkan kata-kata tersebut.
- Terkandung di dalam teks hadis perkara-perkara bidaah yang diada-adakan dan tidak mempunyai asal serta perawi tersebut termasuk di dalam orang yang menyeru kepadanya.
***Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan