VIENTIANE - Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Jumaat menegaskan komitmen Malaysia untuk memperkukuh kerjasama antara ASEAN dan Amerika Syarikat (AS), terutamanya dalam menangani cabaran kritikal di peringkat serantau dan global yang semakin mendesak.
Dalam ucapannya pada Sidang Kemuncak ASEAN-AS, Anwar menekankan kepentingan bidang kerjasama utama serta komitmen Malaysia terhadap usaha memupuk keamanan di zon konflik.
"Malaysia sedia bekerjasama rapat dengan ASEAN dan AS bagi menyelesaikan isu-isu tertunggak yang boleh memudahkan AS menandatangani dan meratifikasi Protokol Zon Bebas Senjata Nuklear Asia Tenggara (SEANWFZ).
"SEANWFZ adalah komponen penting keselamatan serantau, bertujuan untuk mempromosikan Asia Tenggara yang bebas nuklear," katanya dalam satu kenyataan semasa Sidang Kemuncak ASEAN ke-44 dan ke-45 serta Sidang-Sidang Berkaitan di sini pada Jumaat.
Beliau turut menyatakan kesediaan Malaysia untuk bekerjasama dalam program pembangunan kapasiti bagi mempertingkatkan modal insan, khususnya dalam sektor teknologi hijau, tenaga boleh diperbaharui dan pembangunan bandar lestari.
Anwar menegaskan bahawa kerjasama sedemikian penting untuk menangani cabaran alam sekitar yang mendesak di rantau ini sambil mempromosikan pertumbuhan ekonomi.
Menyentuh mengenai krisis di Asia Barat, Perdana Menteri mengulangi sokongan Malaysia terhadap tuntutan masyarakat antarabangsa untuk gencatan senjata segera bagi mengelakkan malapetaka kemanusiaan yang lebih besar di Gaza dan Lubnan.
"Adalah penting bagi semua pihak yang terlibat untuk mengelakkan tindakan yang boleh memburukkan lagi keadaan yang sudah tegang," katanya.
Selaras dengan komitmen Malaysia terhadap keamanan, Anwar mengulangi sokongan negara terhadap pelaksanaan pelan tiga fasa yang bertujuan mencapai keamanan di Gaza.
Beliau menggesa agar pelan itu dilaksanakan dengan segera tanpa syarat tambahan demi memastikan kestabilan jangka panjang di Asia Barat.
Kenyataan Anwar dibuat ketika ASEAN dan Amerika Syarikat terus memperkukuh hubungan, memfokuskan kepada bidang kritikal seperti keselamatan, pembangunan modal insan, dan kelestarian alam sekitar. - Bernama