Nahas pelajar UiTM: Suspek wanita tiada rekod terima rawatan mental

Iklan
Dr Kasemani Embong menyatakan berdasarkan semakan dibuat mendapati rawatan kesihatan mental wanita tersebut tidak pernah direkodkan di mana-mana fasiliti kesihatan negeri setakat ini. Foto Bernama

KUALA TERENGGANU - Seorang wanita yang merempuh dua motosikal hingga menyebabkan kematian tiga pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Dungun pada Rabu lepas tidak pernah mendapat rawatan kesihatan mental di Terengganu.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu, Datuk Dr Kasemani Embong menyatakan berdasarkan semakan dibuat mendapati rawatan kesihatan mental wanita tersebut tidak pernah direkodkan di mana-mana fasiliti kesihatan negeri setakat ini.

Iklan
Iklan

"Bagaimanapun, kita tidak pasti sama ada wanita tersebut ada mendapat rawatan mental di negeri lain," katanya ketika dihubungi di sini pada Jumaat.

Dalam pada itu, Dr Kasemani turut menasihatkan mana-mana ahli keluarga yang berkemungkinan menghidapi penyakit mental supaya tampil menghantar individu terbabit mendapatkan rawatan lanjut.

Iklan

"Jangan malu untuk datang mendapatkan rawatan kesihatan mental.

"Malah masyarakat kita perlu ubah persepsi mengenai penyakit mental ini.

Iklan

"Kita juga seharusnya memberi sokongan kepada mereka untuk mendapat rawatan sewajarnya supaya menjadi lebih baik pada masa hadapan," jelas beliau.

Sebelum ini, media melaporkan seorang wanita yang merempuh dua motosikal hingga menyebabkan kematian tiga pelajar UiTM Kampus Dungun, direman empat hari bermula Khamis.

Suri rumah yang mempunyai tiga anak dan dipercayai mengalami masalah mental itu tiba di Kompleks Mahkamah Kuala Terengganu di sini pada jam 9 pagi Khamis dalam keadaan seperti terpinga-pinga.

Selain itu, Timbalan Ketua Polis Terengganu, Datuk Wan Rukman Wan Hassan berkata, dalam kejadian pada 7.35 malam itu, tiga pelajar UiTM Kampus Dungun maut manakala seorang lagi rakan mereka parah selepas dua motosikal yang dinaiki mereka dirempuh suspek yang memandu kenderaan utiliti sukan (SUV) di Jalan Pantai, berhadapan UiTM Dungun.

Wan Rukman berkata, tiga mangsa yang meninggal dunia adalah Muhammad Akmal Md Tukirin, 25, dari Muar, Johor; Ku Adib Ku Azmi, 20, dari Sungai Buloh, Selangor dan Khairil Anwar Jamaludin, 20, dari Ampang, Selangor.

Manakala Muhammad Amar Danish Mohammad Ridhuan, 20, dari Kuala Lumpur cedera di pinggang dan sedang dirawat di Hospital Dungun.