Duit Tabung Haji, ASB RM103,517 lesap selepas jawab panggilan

Iklan
Kejadian bermula, apabila wanita berusia 54 tahun dari Raub menerima panggilan telefon daripada pihak insurans pada 15 September lalu. Gambar hiasan

KUANTAN - Duit simpanan Tabung Haji dan Amanah Saham Bumiputera (ASB) sebanyak RM103,517 milik seorang suri rumah lesap selepas diperdaya individu yang menyamar sebagai pegawai insurans dan polis.

Kejadian bermula, apabila wanita berusia 54 tahun dari Raub menerima panggilan telefon daripada pihak insurans pada 15 September lalu.

Iklan
Iklan

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, suspek memberitahu mangsa terlibat dengan permohonan tuntutan insurans palsu dan panggilan telefon tersebut kemudian disambungkan kepada individu menyamar sebagai pegawai polis.

Menurutnya, mangsa dimaklumkan bahawa dia terlibat dengan rasuah dan penggubahan wang haram yang akan disenarai hitamkan, selain itu waran tangkap juga akan dikeluarkan terhadapnya.

Iklan

"Mangsa diarahkan menukar kad ATM (mesin pengeluaran wang automatik) baharu dan perlu menyerahkan maklumat perbankan dan memindahkan wang simpanan dari akaun ASB dan Tabung Haji ke akaun berkenaan.

"Selepas mengikuti arahan itu, mangsa membuat semakan di bank pada Khamis dan mendapati wang dalam akaunnya lesap sehingga mengalami kerugian berjumlah RM103,517," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Iklan

Yahaya berkata, susulan itu mangsa tampil membuat laporan dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan

Sehubungan itu, beliau menasihati orang ramai yang menerima panggilan meragukan untuk segera membuat semakan dengan pihak polis atau agensi kerajaan yang berkaitan.

Jelasnya, tindakan itu bagi mengelakkan daripada menjadi mangsa penipuan.

"Masyarakat juga diingatkan sentiasa peka dengan isu-isu semasa membabitkan modus operandi mengenai penipuan jenayah secara dalam talian," katanya.