Lelaki bebas tuduhan sebar berita palsu berkaitan vaksin Covid-19

Iklan
Muhammad Zaki (kanan) dan isteri, Masyitah Md Hassan (tengah) bersama Asiah selepas Mahkamah Sesyen Kuala Kangsar memutuskan untuk melepas dan membebaskan daripada pertuduhan menyebar berita palsu di sini pada Jumaat.

KUALA KANGSAR - Seorang lelaki dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen Kuala Kangsar pada Jumaat atas pertuduhan menyebar berita palsu kematian seorang anggota polis akibat suntikan vaksin Covid-19, tiga tahun lalu.

Keputusan melepas dan membebaskan Muhammad Zaki Omar, 39, itu dibuat Hakim Rohaida Ishak selepas pihak pembelaan berjaya menimbulkan keraguan munasabah di akhir pembelaan kes.

Iklan
Iklan

Menurut Rohaida, keputusan itu dibuat setelah pihak mahkamah menimbang kesemua keterangan lisan dan dokumentasi yang dikemukakan sepanjang perbicaraan serta hujahan yang difailkan kedua-dua pihak.

Jelasnya, mahkamah berpendapat pihak pembelaan berjaya menimbulkan keraguan munasabah ke atas kes pihak pendakwaan.

Iklan

"Ini bermaksud pihak pendakwaan telah gagal membuktikan satu kes yang melangkaui keraguan yang munasabah terhadap tertuduh.

"Dengan keputusan ini, tertuduh dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan," katanya ketika membacakan keputusan penghakiman.

Iklan

Mengikut pertuduhan, Muhammad Zaki didakwa telah menggunakan aplikasi Facebook menerusi profil akaun Muhammad Zaki Omar dengan niat untuk menyebabkan kebimbangan kepada orang awam kira-kira pukul 11.39 malam, 3 April 2021.

Muhammad Zaki didakwa telah menyebarkan berita tidak benar iaitu ‘Akhirnya di Gerik hari ini diperakui satu kematian berlaku melibatkan anggota polis. Komplikasi suntikan vaksin dos ke-2. Semoga kebajikan ahli keluarga arwah terjaga. #500k’ yang telah dibaca pada 4 April 2021 kira-kira pukul 9 pagi di pejabat Ketua Polis Balai, Balai Polis Gerik, Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Gerik.

Perbuatan itu merupakan kesalahan di bawah Seksyen 4(1) Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) (No. 2) 2021 yang membawa hukuman denda tidak lebih RM100,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya dan dalam hal suatu kesalahan berterusan boleh didenda tidak melebihi RM1,000 bagi setiap hari selama kesalahan berterusan selepas sabitan jika didapati bersalah.

Sepanjang tempoh perbicaraan kes berkenaan yang bermula pada 11 Februari 2022, seramai 12 saksi pendakwaan dan empat saksi pembelaan telah dipanggil memberi keterangan.

Sementara itu, ketika ditemui pemberita, peguam yang mewakili tertuduh, Asiah Abd Jalil berkata, pihak pembelaan berjaya membuktikan niat tertuduh ketika memuat naik hantaran tersebut bukan untuk menyebarkan berita tidak benar sebaliknya bertujuan menuntut pampasan bagi pihak mangsa vaksin tersebut.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Firdaus Nor Azlan dan Datin Yasinnisa Begam Seeni Mohideen.

Pada 6 September lalu, Muhammad Zaki yang berdepan pertuduhan komunikasi jelik terhadap Kementerian Kesihatan (KKM) berhubung kesan pengambilan vaksin juga dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.

Keputusan itu dibuat Hakim Datuk Edwin Paramjothy Micheal Muniandy selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie.