BUTTERWORTH - Seorang pengarah syarikat mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan menubuhkan satu entiti perniagaan lain bagi manfaat sendiri tanpa kebenaran mesyuarat agung syarikat.
Tertuduh, Tan Chong Hee, 50 membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Noor Aini Yusof di Mahkamah Sesyen di sini pada Jumaat.
Mengikut pertuduhan, tertuduh sebagai pengarah dua buah syarikat tanpa persetujuan mesyuarat agung syarikat berkenaan telah terlibat dalam satu perniagaan yang bersaing dengan syarikat tersebut.
Sehubungan itu, tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 218(1)(e) Akta Syarikat 2016 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 218(2) akta yang sama.
Dia didakwa melakukan perkara itu dengan menubuhkan sebuah syarikat lain bagi mendapatkan secara langsung atau tidak langsung, sesuatu manfaat bagi dirinya sendiri melalui hasil penjualan kayu-kayan yang berjumlah RM377,990.85.
Chong Hee dituduh melakukan kesalahan itu di Mukim 12, Kubang Menerong, Kampung Selamat di Tasek Gelugor antara 2 November 2020 hingga 29 Mac 2021.
Tertuduh diwakili peguam C Hari Prassaad Rao dan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Nadia Jamal.
Tiada tawaran jaminan dibuat Nurul Nadia terhadap tertuduh.
Dalam rayuannya, Hari Prassaad memohon agar mahkamah menetapkan wang jaminan yang rendah berikutan anak guamnya mempunyai tanggungan keluarga selain mengidap penyakit darah tinggi.
"Tertuduh merupakan pengarah syarikat dan sudah berkahwin. Dia mempunyai seorang isteri yang tidak bekerja dan tiga orang anak yang perlu disara.
"Anak guam saya juga mengidap penyakit darah tinggi. Oleh itu, saya mohon mahkamah menetapkan wang jaminan yang rendah kepadanya," katanya.
Noor Aini kemudiannya menetapkan wang jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin terhadap tertuduh.
Kes ditangguh sehingga 11 November untuk serahan dokumen.