KPDN tumpaskan geng seludup petrol

Iklan
Tong-tong berisi petrol dimuatkan ke dalam kereta untuk dibawa ke pangkalan haram. Foto ihsan KPDN.

TUMPAT - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan menumpaskan kegiatan geng penyeludupan petrol dengan rampasan 1,650 liter di sini pada Khamis.

Pengarah KPDN Kelantan, Azman Ismail berkata, kumpulan itu bergerak antara empat hingga lima kereta secara serentak untuk melakukan kegiatan penyeludupan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, setiap kereta boleh diisi sehingga 1,000 liter petrol dan kemudian mereka akan menggunakan jalan pintas ke pangkalan haram tanpa melalui pos pemeriksaan.

"Kegiatan pembelian petrol dibuat secara borong dan berulang dengan mengisi petrol ke dalam tong yang dimuatkan di dalam kereta.

Iklan

"Modus operandi mereka berselindung dengan melalui jalan raya yang sibuk terutama pada waktu orang ramai menghantar anak ke sekolah sekitar jam 7 hingga 7.30 pagi,” katanya kepada pemberita di sini, pada Jumaat.

Antara kenderaan yang dirampas dalam operasi di Tumpat. Foto ihsan KPDN

Menurut Azman, operasi bersepadu yang dijalankan pihaknya itu turut melibatkan anggota dari Pasukan Polis Marin Wilayah Tiga, Pengkalan Kubor.

Iklan

"Operasi melibatkan serbuan pertama di sebuah rumah di Kampung Geting dan berjaya menyita sebuah kereta jenis Proton Wira Aeroback bernombor pendaftaran tempatan dianggarkan bernilai RM5,000 dengan rampasan 825 liter minyak petrol bersubsidi.

"Serbuan kedua dilakukan di Jalan Kasban dengan menyita sebuah Proton Gen2 bernombor pendaftaran tempatan juga dianggarkan bernilai RM5,000 dan 825 liter minyak petrol bersubsidi bernilai RM1,691.25 dirampas,” katanya.

Tambah beliau, nilai keseluruhan sitaan melibatkan kenderaan dan minyak petrol ialah RM13,382.50.

"Operasi ini membuktikan usaha gigih pihak berkuasa dalam memastikan penyelewengan dan penyeludupan barang kawalan bersubsidi dapat ditangani dengan tegas di sempadan negara.

"Suspek yang menyedari kehadiran pasukan bagaimanapun melarikan diri, namun siasatan diteruskan mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya.