SHAH ALAM - Perkahwinan merupakan satu ibadah dalam Islam dan juga merupakan satu ikatan perjanjian diikat oleh ALLAH SWT antara seorang lelaki (suami) dengan seorang perempuan (isteri).
Khutbah Jumaat disediakan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) hari ini antara lain menegaskan, al-Quran ada menggambarkan betapa kuatnya ikatan antara suami dan isteri yang sangat rapat dan mesra seperti pakaian yang dapat memelihara si pemakainya.
"Keperluan suami atau isteri kepada pasangannya adalah sama seperti keperluan mereka kepada pakaian.
"Sekiranya fungsi pakaian adalah bagi menutup keaiban tubuh badan dan menjaganya daripada sebarang kemudaratan, suami atau isteri pula akan menjaga kemuliaan pasangannya, memelihara kehormatan dan dapat memberikan ketenteraman.
"Akhirnya akan lahirlah ketenangan dan kebahagiaan buat mereka," ujarnya.
Teks khutbah itu menyebut, perkahwinan dan hidup berkeluarga juga dapat membantu seseorang untuk mencapai kesempurnaan dalam kehidupan beragama dan amat dituntut dalam Islam dan merupakan sunah Rasulullah SAW.
"Antara tujuan disyariatkan perkahwinan adalah bagi melatih kesabaran menjaga kehormatan manusia, kesucian zuriat, keturunan yang mulia dan mewujudkan kasih sayang dan tanggungjawab dalam rumah tangga dibina.
"Maka dengan ini akan terhasillah ketenteraman jiwa dan perasaan kasih sayang antara dua keluarga meliputi ibu bapa, saudara mara hinggalah kepada anak-anak," ujarnya.
Di samping itu, ujarnya, elakkan diri daripada menggunakan kata-kata kesat sesama pasangan, amalkan menegur secara berhemah dan jagalah perasaan sesama pasangan.
"Dalam kehidupan berumahtangga kita harus menerima hakikat bahawa akan terdapat kekurangan dan kelemahan dalam diri pasangan masing masing.
"Sebagai manusia biasa kita tidak pernah lekang daripada melakukan kesalahan.
"Seorang suami di dalam sesebuah keluarga seharusnya menjadi pelengkap atas kelemahan dan kekurangan isteri dan begitulah juga sebaliknya buat para isteri," ujarnya.
Teks itu juga mengingatkan jemaah supaya menyedari bahawa di sebalik kekurangan pasangan kita terdapat kelebihan yang ALLAH SWT kurniakan tanpa kita sedari.
Sehubungan itu, tegasnya, amatlah tidak berpatutan jika ditularkan melalui media sosial tentang keburukan, kekurangan dan keaiban pasangan kerana ini jelas menyalahi hukum syarak dan akhlak Islam.
Ujarnya, platform media adalah untuk mendidik masyarakat tentang pentingnya menjaga hubungan yang sihat dan cara menangani perpisahan dengan baik.
"Setiap pasangan perlu sentiasa bijak berhadapan dengan apa juga cabaran rumahtangga dan menanganinya dengan tenang, sabar dan positif.
"Untuk mewujudkan suasana harmoni dalam kehidupan berumahtangga memerlukan kepada ilmu iaitu dengan menambahkan ilmu terutamanya ilmu komunikasi dan ilmu psikologi dalam rumahtangga serta ilmu agama khususnya fiqh rumahtangga," ujarnya.
Sehubungan itu, tuntutlah ilmu dengan menghadiri kelas-kelas pengajian terutamanya kelas-kelas agama, kuliah-kuliah di masjid dan melalui pembacaan buku tentang tanggungjawab sebagai suami isteri.