Penjaga stor didakwa rogol anak saudara

Iklan
Tertuduh (tengah) diiring polis ketika hadir ke mahkamah

SEREMBAN - Penjaga stor dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini pada Jumaat atas pertuduhan merogol anak saudara perempuannya yang berusia 14 tahun, tiga tahun lalu.

Tertuduh, berusia 37 tahun bagaimanapun mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim, Datin Surita Budin selepas kertas pertuduhan dibacakan jurubahasa.

Iklan
Iklan

Mengikut pertuduhan, tertuduh telah merogol seorang kanak-kanak perempuan yang ketika kejadian berusia 14 tahun di sebuah rumah beralamat di Taman Andalas, Mantin, Nilai, pada tahun 2021.

Berikutan itu, tertuduh telah melakukan satu kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan, jika disabitkan hendaklah diseksa dengan penjara maksimum 20 tahun dan boleh disebat.

Iklan

Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Balkis Zunaidi tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap tertuduh memandangkan hubungan tertuduh dengan mangsa adalah bapa saudara.

Katanya, beliau juga difahamkan kedua-dua mereka tinggal di rumah sama dan kejadian itu hanya diketahui selepas mangsa memaklumkan kepada doktor ketika menerima rawatan di hospital.

Iklan

Peguam, K Ramalingam merayu anak guamnya dibenarkan jaminan minimum kerana perlu menanggung dua anak berusia tiga dan sembilan tahun serta isteri selain menanggung ibu mentua dengan pendapatan RM1,800 sebulan.

Mahkamah kemudiannya menetapkan jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin dengan syarat tambahan perlu melapor diri di balai polis berhampiran setiap bulan, tidak mengganggu mangsa serta memberikan kerjasama kepada pihak polis.

Sebutan semula bagi serahan dokumen dan laporan perubatan pada 29 November ini.