BACHOK - Hospital Bachok di sini yang bernilai RM71.3 juta akan mula beroperasi pada November ini.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, fasiliti itu bakal memberikan kemudahan yang lebih selesa kepada penduduk di sekitar daerah ini.
"Saya dimaklumkan bahawa Hospital Bachok ini amat dinantikan oleh penduduk tempatan di samping klinik kesihatan dan klinik desa sedia ada yang terhad kepada saringan serta rawatan awal sahaja.
"Seperti semua sedia maklum, kebanyakan kes berisiko sebelum ini telah dirujuk ke Hospital Pakar USM Kubang Kerian sejauh 15 kilometer (km) dan Hospital Raja Perempuan Zainab II jarak 20 km," katanya semasa merasmikan Majlis Penyerahan Projek Siap Hospital Bachok di sini pada Jumaat.
Hadir sama Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud.
Fadillah berkata, hospital tersebut mempunyai tiga tingkat berserta komponen jabatan termasuk dua dewan bedah, tiga wad (lelaki, perempuan, ibu dan anak), dewan bersalin dan forensik, makmal dan ruang dialisis, blok bangunan mekanikal dan elektrik, kolam tadahan serta pondok pengawal.
Katanya, dengan adanya kemudahan itu ia dapat menjimatkan kos perjalanan ke hospital di samping memberikan impak sosioekonomi kepada rakyat di jajahan ini.
"Saya yakin dengan penyerahan projek touch-point seperti Hospital Bachok pada hari ini, ia dapat memberikan manfaat kepada rakyat.
"Besar harapan saya agar rakyat dapat menerima perkhidmatan kesihatan yang optimum demi kemaslahatan bersama," katanya.