Perunding kewangan dituduh salah guna kad ATM bekas guru

Iklan
Amir Ashraf dibawa ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Jumaat, bagi menghadapi dua pertuduhan menyalahgunakan kad ATM milik bekas gurunya dan wang menantu mangsa, dua tahun lalu.

KUALA LUMPUR – Seorang perunding kewangan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Jumaat, atas dua pertuduhan menyalahgunakan kad mesin juruwang automatik (ATM) milik bekas gurunya dan wang menantu mangsa, dua tahun lalu.

Amir Ashraf Abdullah, 50, membuat pengakuan itu selepas semua pertuduhan dibaca di hadapan Hakim, Hamidah Mohamed Deril.

Iklan
Iklan

Mengikut pertuduhan pertama, lelaki itu didakwa menyalahgunakan kad ATM RHB Bank milik mangsa yang berusia 66 tahun dalam urusan pembelian rumah dan menawarkan khidmat penstrukturan kewangan, dengan cara memindahkan wang pinjaman berjumlah RM161,000 ke akaun syarikat miliknya di sebuah restoran di Bangsar di sini, pada Februari 2022.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa menyalahgunakan wang RM118,147 milik menantu mangsa berusia 39 tahun, yang juga seorang guru, bagi kegunaan tertuduh di sebuah hotel di Dang Wangi di sini antara 29 Jun dan 30 September tahun sama.

Iklan

Setiap pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara antara enam bulan hingga enam tahun dan sebatan serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Ikhwan Mohd Nasir mencadangkan tertuduh diberi ikat jamin sebanyak RM50,000 dengan seorang penjamin bagi setiap pertuduhan.

Iklan

Bagaimanapun, peguam, Mohd Syawal Mohd Razak yang mewakili tertuduh memohon kadar itu dikurangkan kerana anak guamnya menghidap penyakit kegelisahan selain menanggung keluarga.

Selepas mendengar permohonan daripada kedua-dua pihak, Hamidah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM7,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin.

Mahkamah menetapkan 18 November depan untuk sebutan semula kes.