TEMERLOH - Kembara Anak Temerloh oleh bekas pemandu lori, Ahmad Zulkifle Ahmad, 56, ke Makkah mendapat perhatian Exco Hal Ehwal Agama Islam, Kemajuan Desa dan Hal Ehwal Orang Asli Pahang, Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad.
Beliau bersama Ketua Pemuda UMNO Pahang, Kamil Ibrahim dan Kadi Bentong, Ahmad Zaharuddin Mohd Alias meluangkan masa menemui Ahmad Zulkifle di Masjid Kampung Baru di Kuala Lumpur pada Khamis selepas program di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL).
"Saudara Ahmad Zulkifle yang berasal dari Karak, Bentong, Pahang menetap di Taman Temerloh Jaya telah memulakan kayuhan sejak Rabu dari Temerloh.
"Ketibaan beliau di Kuala Lumpur telah menemukan dua lagi rakannya yang bakal bersama dalam kayuhan kembara ini," katanya lagi.
Hadir sama dalam kunjungan tersebut, Pengerusi Masjid Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah, Taman Temerloh Jaya, Dr Abdullah Ismail.
Pada pertemuan itu, Syed Ibrahim juga sempat menyerahkan sumbangan peribadi kepada Ahmad Zulkifle selain memberikan kata-kata semangat serta nasihat.
Ahmad Zulkifle yang juga bapa kepada empat anak bakal menempuh perjalanan lebih 10,000 kilometer dan dijangka mengambil tempoh kira-kira enam bulan.
Kembara tersebut akan merentas tujuh negara iaitu Thailand, India, Pakistan, Iran, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Arab Saudi.
Pelepasan Ahmad Zulkifle diadakan di pekarangan Masjid Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah di sini pada Rabu.