SHAH ALAM - Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sekali lagi menegaskan tidak terlibat dalam pembunuhan model warga Mongolia, Altantuya Shaariibuu.
Dalam keterangannya di Mahkamah Tinggi Shah Alam pada Jumaat, Najib menyatakan bahawa beliau tidak pernah mengenali, bertemu, atau mengarahkan pembunuhan Altantuya.
Peguamnya, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, bertanya tentang sebarang kaitan atau pengetahuannya mengenai Altantuya, seperti yang disebut dalam bab 42 buku 'My Story: Justice In The Wilderness' tulisan bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas."Saya tidak pernah mengenali beliau, tidak pernah bertemu, dan tidak pernah memberikan arahan sedemikian.
"Saya tidak terlibat dalam jenayah keji ini, dan saya tidak terlibat dalam pembunuhan Altantuya.
"Saya telah menyatakan ini secara rasmi dan bersumpah,” kata Najib pada perbicaraan penuh pertama bagi saman fitnahnya terhadap Thomas.
Kenyataan Najib ini dibuat sehari selepas Mahkamah Persekutuan menukar hukuman bekas pengawal peribadinya, Azilah Hadri, daripada hukuman gantung kepada penjara 40 tahun serta 12 sebatan rotan atas kesalahan membunuh Altantuya, model berusia 28 tahun itu.
Najib turut mendakwa dakwaan dalam buku tersebut telah mencemarkan reputasinya secara sengaja dengan mengaitkan namanya dalam pembunuhan Altantuya, sebelum buku itu diedarkan di peringkat domestik dan antarabangsa.
Beliau juga menegaskan bahawa tuduhan dalam buku itu tidak berasas dan tiada bukti sahih.
Di hadapan Hakim Datuk Khadijah Idris, Najib menyatakan bahawa buku tersebut, termasuk versi e-book, diterbitkan pada sekitar Januari 2021, dan ia mencalarkan imejnya ketika kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) masih berlangsung.
Najib memfailkan saman fitnah terhadap Thomas pada 27 Oktober 2021, saman kedua terhadap bekas Peguam Negara itu selepas saman pertama yang difailkan pada 22 Oktober berkaitan dakwaan penyalahgunaan kuasa dalam kes 1MDB.
Mahkamah akan meneruskan perbicaraan pada 30 Jun 2025. - Awani