TEMERLOH - Seorang pembantu awam Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kuala Tahan maut selepas kereta yang dipandu bertembung dengan kenderaan utiliti sukan (SUV) di Kilometer (KM) 20 Jalan Temerloh - Jerantut di sini pada Khamis.
Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mazlan Hassan berkata, dalam kejadian kira-kira jam 1.36 tengah hari itu, kemalangan membabitkan kereta jenis Perodua Viva dan SUV jenis Proton X70.
"Hasil siasatan, kemalangan berlaku apabila mangsa yang memandu kereta Perodua Viva dari arah Temerloh menghala ke arah Jerantut.
"Apabila sampai di lokasi, dipercayai tiba-tiba Proton X70 yang dipandu seorang wanita berusia 64 tahun yang datang dari laluan bertentangan gagal mengawal kenderaan lalu masuk ke laluan Perodua Viva dan bertembung dengan kereta terbabit," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Ujarnya, akibat daripada perlanggaran tersebut, pemandu Perodua Viva berusia 33 tahun disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Jelas beliau, pemandu Proton X70 pula mengalami kecederaan dan dibawa ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS) Temerloh untuk menerima rawatan.
Tambah Mazlan, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.