Rosmah tidak sepatutnya didakwa AMLA - Peguam

Iklan
Rosmah

KUALA LUMPUR - Pembelaan Datin Seri Rosmah Mansor berhujah di Mahkamah Tinggi di sini pada Jumaat bahawa, isteri bekas Perdana Menteri itu tidak sepatutnya didakwa dalam pengubahan wang haram kerana pertuduhan tersebut `tidak betul' di sisi undang-undang.

Peguam, Datuk Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin yang mewakili Rosmah, 73, berkata, pertuduhan berkenaan juga melanggar kebebasan diri seperti yang termaktub di bawah Perkara 5 Perlembagaan Persekutuan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, ketidakadilan prosedur yang berlaku, memberi impak buruk kepada kualiti hidup anak guamnya.

Selain itu katanya, Seksyen 85 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 iaitu kuasa Menteri Kewangan untuk memasukkan seksyen itu ke dalam Jadual Kedua, bertentangan dengan Perlembagaan.

Iklan

"Jika perbicaraan diteruskan, ia akan menyebabkan berlakunya penyalahgunaan proses mahkamah secara terang-terangan.

"Beliau sepatutnya dibebaskan daripada 17 pertuduhan iaitu 12 pertuduhan pengubahan wang haram dan lima pertuduhan gagal mengisytiharkan pendapatannya kepada LHDN (Lembaga Hasil Dalam Negeri),” kata peguam itu.

Iklan

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Akram Gharib berhujah, Seksyen 85 adalah berperlembagaan kerana Menteri Kewangan dilengkapi kuasa untuk memasukkan kesalahan lain yang dikenal pasti sebagai kesalahan serius.

Menurutnya, penambahan Seksyen 112 Akta Cukai Pendapatan 1967 juga tidak bertentangan dengan Perlembagaan.

"Ini kerana secara teknikalnya, seseorang yang tidak mengisytiharkan cukai pendapatan, dikategorikan sebagai menikmati hasil daripada aktiviti yang menyalahi undang-undang,” katanya.

Hujahan di hadapan Hakim, K Muniandy bersambung 12 November depan.

Isteri Datuk Seri Najib Tun Razak ini berdepan 12 pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM7,097,750, dan lima pertuduhan gagal menyerahkan penyata pendapatan kepada LHDN.

Bagi pertuduhan pengubahan wang haram, Rosmah didakwa mengikut Seksyen 4(1)(a) AMLATFPUAA 2001 yang boleh dihukum menurut Seksyen 4(1) akta sama.

Bagi pertuduhan berkaitan LHDN, dia didakwa gagal mengemukakan penyata pendapatan bagi tahun taksiran 2013 hingga 2017 kepada Ketua Pengarah Hasil Dalam Negeri pada atau sebelum 30 April 2014, 2015, 2016, 2017 dan 2018.

Isteri bekas Perdana Menteri ini didakwa gagal melakukannya seperti mana yang diperuntukkan oleh Seksyen 77(1) Akta Cukai Pendapatan 1967 dengan tiada sebab munasabah yang bertentangan dengan Seksyen 112 akta sama.

Beliau didakwa melakukan kesalahan itu di Affin Bank Berhad, Cawangan Bangunan Getah Asli, Jalan Ampang di sini, antara 4 Disember 2013 dan 8 Jun 2017 dan di LHDN, Kompleks Bangunan Kerajaan, Jalan Tuanku Abdul Halim, di sini dari 1 Mei 2014 dan 1 Mei 2018.