Nahas pelajar UiTM: KPT, UiTM salur bantuan kepada keluarga mangsa

Iklan
Azlinda (dua, kanan) menyampaikan sumbangan kepada bapa Allahyarham Ku Adib.

SHAH ALAM - Keluarga pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Terengganu Kampus Dungun, Allahyarham Ku Adib Aizad Ku Azmi, 20, menerima sumbangan daripada Yayasan Perkasa Siswa.

Ku Adib merupakan salah seorang daripada tiga mangsa yang terkorban dalam kemalangan di Dungun, Terengganu pada Rabu.

Iklan
Iklan

UiTM dalam satu kenyataan berkata, penyerahan sumbangan disampaikan oleh Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datuk Profesor Dr Azlinda Azman pada Jumaat.

Azlinda (kanan) menziarahi Hafizah, ibu kepada Ku Adib yang maut selepas dirempuh SUV dalam kejadian di Dungun, Terengganu pada Rabu.

Menurut kenyataan itu, sumbangan disampaikan kepada ibu bapa Allahyarham, Hafizah Iszahanid dan Ku Azmi Saad.

Iklan

"Azlinda meluangkan masa hampir sejam menziarahi keluarga Ku Adib di Taman Seri Pristana, Sungai Buloh.

"Menerusi kenyataan ringkas selepas ziarah, beliau menyatakan yang Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan UiTM akan memberi sokongan berterusan kepada kesemua keluarga dalam menghadapi situasi sedih ini," katanya menerusi kenyataan pada Jumaat.

Iklan

Media sebelum ini melaporkan tiga pelajar UiTM Dungun maut, manakala seorang parah selepas terbabit kemalangan di hadapan universiti berkenaan pada malam Rabu.

Tiga pelajar yang terkorban di tempat kejadian iaitu Ku Adib, Khairil Anwar Jamaludin, 20, dari Ampang, Selangor dan Muhammad Akhmal Md Tukirin, 25, dari Muar, Johor.

Sementara seorang lagi pelajar, Muhammad Ammar Danish Mohamad Ridhuan, 20, sedang menerima rawatan di Hospital Dungun.

Kesemua mangsa menunggang dua motosikal dirempuh sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Honda CRV dipandu seorang wanita dalam kejadian sekitar jam 7.20 malam.

Menerusi kenyataan sama, UiTM berkata, pihaknya akan memberikan sokongan moral serta bantuan yang diperlukan kepada keluarga mangsa.