Murid tak boleh kibar bendera negara asing di sekolah - Peguam

Iklan
Aidil Khalid

SHAH ALAM - Murid tidak boleh mempamerkan lambang kebangsaan dan bendera negara asing di sekolah di Malaysia kerana salah di sisi undang-undang.

Peguam, Aidil Khalid berkata, ia merupakan satu kesalahan jenayah yang boleh disiasat, ditangkap dan didakwa kerana Malaysia adalah negara berdaulat.

Iklan
Iklan

"Di bawah Akta Lambang Kebangsaan (Kawalan Mempamer) 1949 (Akta 193), Seksyen 3 memperuntukkan bahawa tiada seorang pun boleh mempamerkan mana-mana lambang kebangsaan termasuk bendera negara asing di tempat awam atau sekolah.

"Manakala sekolah pula ditakrifkan sebagai mana-mana premis atau mana-mana bahagian... premis tempat orang kebiasaannya diajar sama ada di dalam satu kelas atau lebih.

Iklan

"Bermaksud, tak boleh kibar bendera negara asing di sekolah dalam negara ini sebab Malaysia merupakan negara berdaulat," katanya menerusi satu hantaran di Facebook pada Jumaat.

Beliau berkata demikian selepas tular dua keping gambar yang dimuat naik di media sosial memaparkan pelajar sebuah sekolah menengah swasta di Pulau Pinang memegang bendera China.

Iklan

Hantaran tersebut menunjukkan satu gambar berkumpulan antara pelajar sekolah, guru dan tetamu jemputan yang dipercayai dari China di dalam satu majlis.

Menurut Aidil, pengecualian hanya diberikan kepada mana-mana orang yang ditauliahkan sebagai wakil diplomatik atau wakil konsular kuasa asing ke Malaysia.

"Mereka ini boleh mempamerkan lambang kebangsaan negara asing di sekolah atau tempat awam negara ini.

"Seksyen 5 pula memberi kuasa kepada menteri untuk memberikan pengecualian atau permit bagi mempamerkan mana-mana lambang tersebut, walaupun bukan diplomat atau wakil konsular.

"Sesiapa yang dituduh dan didapati bersalah melakukan kesalahan mempamer lambang kebangsaan, jika mereka tidak jatuh dalam kategori pengecualian (seperti diplomat atau wakil konsular atau diberikan permit untuk berbuat demikian), boleh dipenjara hingga tempoh yang tidak melebihi enam bulan atau denda tidak melebihi RM500 atau kedua-duanya," jelasnya.

Justeru, beliau berkata, jika gambar itu sahih dan murid sekolah di Malaysia mengibarkan bendera China, maka ia adalah satu kesalahan jenayah.

Tambahnya, banyak persoalan yang timbul berdasarkan situasi tersebut dan memerlukan penjelasan segera.

"Adakah murid sekolah yang mengibar bendera China itu adalah wakil diplomat sah?

"Takkan budak-budak lagi dah dapat jadi wakil diplomat sah? Adakah menteri kita ada mewartakan sebarang pengecualian untuk menayangkan bendera China untuk murid di sekolah tersebut?

"Kalau jawapan bagi ketiga-tiga soalan di atas adalah ‘tidak’, maka apa yang terpapar dalam gambar ini, jika terbukti sahih, adalah satu kesalahan jenayah. Ia wajar disiasat dan diambil tindakan," tegas beliau.