Mohd Najwan cadang peruntukan DUMS dinaikkan RM4 juta setahun

Iklan
Mohd Najwan (tengah) menyampaikan plak Dana Usahawan Madani Selangor kepada penerima pada Jumaat.

SHAH ALAM - Skop Dana Usahawan Madani Selangor (DUMS) diperkenalkan kerajaan negeri sejak 2015 kini diperluaskan dan terbuka kepada semua usahawan, bukan sahaja mikro tetapi juga perusahaan kecil atau sederhana.

Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan Negeri Selangor, Mohd Najwan Halimi berkata, bantuan kepada usahawan berbentuk geran yang majoritinya diberikan kepada industri makanan dan minuman (F&B) berdasarkan permohonan itu telah dikembangkan kepada perusahaan merentasi sektor termasuk industri kreatif.

Iklan
Iklan

Dalam masa sama, ujar Mohd Najwan, pihaknya juga sedang dalam proses untuk membuat permohonan kepada kerajaan negeri agar dapat meningkatkan jumlah peruntukan Dana Usahawan Madani yang ketika ini berjumlah RM2 juta setahun.

Mohd Najwan (tujuh dari kiri) bergambar bersama penerima DUMS dari daerah Hulu Langat.

"Cadangan jumlah RM4 juta setahun mungkin agak selesa untuk memberi lebih ruang dari segi jumlah geran diterima malah peruntukan tambahan itu akan dapat memperbanyakkan program serta kursus bimbingan kepada usahawan.

Iklan

"Ini supaya usahawan dapat mengembangkan lagi perniagaan mereka ke peringkat lebih tinggi," katanya kepada pemberita pada Majlis Penyampaian Plak Dana Usahawan Madani Selangor 2024 di sini pada Jumaat.

Terdahulu, Mohd Najwan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Anggerik menyampaikan plak dana usahawan itu kepada 136 penerima dari sembilan daerah dengan melibatkan jumlah dana sebanyak RM2.4 juta.

Iklan

"Daripada jumlah 136 penerima tersebut, seramai 32 usahawan dipilih pada tahun lalu manakala 104 lagi dipilih pada tahun ini. Proses pemilihan kali ini agak kompetitif dan sengit apabila kita menerima lebih 6,000 pemohon dari seluruh daerah," tambah Mohd Najwan.