Banci Pertanian 2024 berakhir, rekod lebih 1.2 juta pegangan pertanian

Iklan
Mohd Uzir (dua dari kiri) mengadakan bancian pertanian ke sebuah perusahaan ternakan kerbau di Langkawi.

SHAH ALAM - Banci Pertanian 2024 merekodkan penambahan sebanyak 59,284 pegangan pertanian baharu dan menjadikan jumlah keseluruhan 1,256,593.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin berkata, pada peringkat awal pelaksanaan bancian itu terdapat 1,197,309 pegangan pertanian direkodkan.

Iklan
Iklan

"Daripada jumlah berkenaan sebanyak 98.4 peratus (1,177,556) terdiri daripada isi rumah dan 1.6 peratus (19,753) pertubuhan perniagaan yang aktif.

"Bagaimanapun, setelah berakhir kerja lapangan ini, didapati sebanyak 1,256,593 kes yang ditemui (105.0%). Bancian ini menemui tambahan 59,284 pegangan pertanian baharu selain daripada senarai sebelum pembancian,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Iklan

Banci Pertanian 2024 yang dilakukan pada 7 Julai hingga 10 Oktober adalah bertujuan untuk mengenal pasti struktur pertanian terkini yang diusahakan pelbagai pihak dalam negara.

Data daripada banci pertanian akan menghasilkan input yang diperlukan sama ada oleh penggubal dasar, pihak industri, penyelidik dan ahli akademia mahupun petani.

Iklan

Mengulas lanjut, Mohd Uzir berkata, walaupun tempoh pembancian di lapangan telah berakhir, namun ‘mopping-up’ akan dilaksanakan dalam tempoh 2 minggu bermula 11 sehingga 24 Oktober.

Menurutnya, ia merupakan amalan yang biasa dalam pelaksanaan pembancian untuk memastikan semua pegangan pertanian tidak tertinggal daripada liputan banci tersebut.

"Pelaksanaan operasi Penilaian Liputan Banci Pertanian bagi menilai kualiti liputan dan kandungan Banci Pertanian 2024 pula akan bermula pada 1 November 2024 sehingga 31 Januari 2025.

"Ini adalah selaras dengan saranan daripada Persidangan Pertubuhan Makanan dan Pertanian Bangsa-Bangsa Bersatu (FAO) melalui World Programme for the Census of Agriculture (WCA),” ujarnya.

Sementara itu, beliau turut memaklumkan hasil bancian pertanian di Kedah mencapai 105.8 peratus dengan pertambahan 4,719 kes baharu berbanding 81,780 senarai asal isi rumah.

Menurutnya, Langkawi mencatatkan kadar yang tertinggi dengan 152.3 peratus, diikuti Kuala Muda (128.9 peratus) dan Kulim (114.8 peratus).

Pada masa sama, Mohd Uzir berkata, penghasilan statistik sektor pertanian akan diperketat dengan perantaian ke hadapan melalui tinjauan bulanan dan suku tahunan baharu.

"Maklumat ini akan dikemas kini secara berkala dan seterusnya menjadi sumber utama kerajaan dan agensi pertanian untuk merangka dasar yang lebih tepat dan berkesan bagi masa depan sektor pertanian negara.

"Dengan adanya Pangkalan Data Statistik Pertanian Bersepadu (MySAgR), keperluan ekosistem pertanian dapat dipertingkatkan selari dengan peningkatan produktiviti serta kelestarian dan seterusnya memacu negara mencapai matlamat pembangunan lestari,” jelasnya.