GUARDIAN Malaysia (Guardian) melaksanakan kempen Pink October bersama Kundal dan Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NCSM) sempena ulang tahun jenama tersebut yang ke-57.
Pengarah Pemasarannya, Anna Ng berkata, kempen itu dilaksanakan bagi meningkatkan kesedaran, memperluaskan akses selain menggalakkan penglibatan masyarakat dalam perjuangan menentang kanser payudara.
Menurutnya, mereka turut memperkenalkan kit pemeriksaan payudara Pink Glove eksklusif yang mengandungi sarung tangan bersama langkah pemeriksaan sendiri, dua botol mandian badan dan satu skrub badan dengan harga RM23.88.
Jelasnya, disebabkan kekurangan kesedaran penyakit berbahaya itu dalam kalangan isi rumah berpendapatan rendah, mengakibatkan separuh daripada kes kanser payudara hanya disahkan pada peringkat ketiga dan keempat.
"Kecantikan luaran dan kesejahteraan dalaman menuntut penjagaan secara harian. Ini termasuk pengetahuan tentang apa yang baik untuk anda dan kemampuan untuk mengakses pilihan produk kecantikan dan kesejahteraan yang tepat.
"Setiap kit Pink Glove yang terjual akan disumbangkan kepada NCSM bagi menyokong usaha pendidikan, kesedaran, dan program pengesanan awal kanser payudara. Selain itu, 10,000 kit Pink Glove akan diedarkan oleh NCSM kepada wanita yang kurang berkemampuan di seluruh Malaysia.
"Kesedaran yang rendah menyebabkan kadar survival lima tahun yang rendah iaitu 66.8 peratus, di mana ia lebih rendah berbanding negara Asia lain seperti Singapura iaitu 79 peratus, Korea Selatan 92.6 peratus dan Jepun 96.2 peratus,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Sementara itu, menurut Pengarah Urusan NCSM, Dr Murallitharan Munisamy, usaha untuk menambah baik akses kepada pemeriksaan sendiri kanser payudara penting bagi membantu mengesan penyakit tersebut dari peringkat awal.
Tambahnya, dengan pemberian kit itu, ia mampu menangani kanser payudara secara holistik.
"Kami berterima kasih kepada guardian Malaysia di atas usaha untuk menambah baik akses kepada pemeriksaan sendiri kanser payudara.
"Kit Pink Glove, yang digabungkan dengan kempen kesedaran, sumbangan dan agihan kepada wanita kurang berkemampuan, menawarkan pendekatan yang holistik dalam menangani kanser payudara merentasi semua demografi,” ujarnya.
Dalam pada itu, Anna berkata, orang ramai juga bakal menikmati promosi eksklusif dan diskaun sebanyak 57 peratus bagi pembelian item kedua untuk lebih 3,000 produk yang ditawarkan di stor fizikal serta dalam talian.
Menurutnya, Guardian Malaysia akan melancarkan lebih daripada 20 jenama baharu dan eksklusif pada bulan Oktober ini.
"Kami mengajak semua orang untuk meraikan ulang tahun kami dengan menikmati produk hebat pada nilai yang tiada tandingan, di samping menyokong kempen kesedaran kanser payudara bersama NCSM.
"Kami berharap kejayaan dalam memupuk kecantikan dan kesejahteraan rakyat Malaysia ini kekal untuk 57 tahun lagi,” katanya.