Najib tidak pernah arah bunuh Altantuya

Iklan
Najib menafikan menjadi dalang di sebalik pembunuhan Altantuya kerana beliau tidak pernah bertemu wanita Mongolia terbabit. Foto Bernama

SHAH ALAM - Datuk Seri Najib Tun Razak menafikan pernah mengarahkan bekas anggota Unit Tindakan Khas (UTK), Cif Inspektor Azilah Hadri supaya membunuh seorang wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu, pada 18 tahun lalu.

Bekas Perdana Menteri itu berkata demikian ketika disoal peguamnya, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah dalam perbicaraan kes saman fitnahnya terhadap GB Gerakbudaya Enterprise Sdn Bhd dan bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas menerusi penerbitan buku berjudul ‘My Story: Justice in the Wilderness' selaku defendan.

Iklan
Iklan

Najib, 71, juga menafikan menjadi dalang di sebalik pembunuhan ngeri itu kerana dia tidak pernah bertemu wanita Mongolia terbabit.

Semasa menjawat jawatan Timbalan Perdana Menteri, beliau mengaku telah mengenali penganalisis politik, Abdul Razak Baginda yang bertugas di bawah pentadbirannya.

Iklan

"Abdul Razak terlibat dalam pembelian kapal selam dari Perancis, melibatkan perjanjian berbilion dolar untuk negara sementara mendiang Altantuya bukan salah seorang daripada mereka yang berada di peringkat atasan perjanjian itu.

"Setahu saya, menerusi laporan media, mendiang merupakan seorang jurubahasa, cuma tidak pasti sejauh mana hubungan mereka berdua," katanya.

Iklan

Susulan itu, bekas Ahli Parlimen Pekan itu berkata, selaku pengarang buku, Tommy sepatutnya mengesahkan fakta sebelum penerbitannya.

Beliau berkata, jelas menunjukkan bahawa Tommy mahu merosakkan nama baik, integriti dan reputasinya dengan tuduhan yang tidak berasas.

Lebih-lebih lagi beliau berkata, buku tersebut diterbitkan selepas Tommy tidak lagi berkhidmat dengan Jabatan Peguam Negara (AGC).

Perbicaraan di hadapan Hakim, Datuk Khadijah Idris bersambung pada 30 Jun tahun depan.

Pada 2 Februari 2021, Najib menuntut permohonan maaf dan ganti rugi RM10 juta dari Tommy atas dakwaan fitnah dalam buku yang mengaitkannya dengan pembunuhan wanita Mongolia tersebut.

Menerusi dokumen sokongan, Najib mendakwa kenyataan fitnah itu membayangkan bahawa beliau telah mengarahkan Azilah dan seorang lagi bekas anggota polis, Koperal Sirul Azhar Umar untuk membunuh Altantuya.

Susulan penyiaran buku Tommy yang mengandungi unsur-unsur fitnah, beliau menuntut ganti rugi am, teruk dan teladan daripada semua defendan termasuk perintah supaya mereka mengeluarkan kenyataan fitnah daripada buku itu.

Pada Khamis, Azilah terlepas hukuman gantung selepas Mahkamah Persekutuan di Putrajaya, menggantikannya kepada hukuman penjara selama 40 tahun bermula tarikh tangkap 1 November 2006 dan dikenakan 12 sebatan.

Panel tiga hakim dipengerusikan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat bersidang bersama Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim dan Datuk Nordin Hassan sebulat suara membenarkan permohonan semakan hukuman Azilah, 48, untuk mengetepikan hukuman yang dikenakan terhadap lelaki itu kerana membunuh Altantuya.