Pesalah rasuah kalis takut terhadap undang-undang

Iklan
Dr Nor Halmey

SHAH ALAM - Kes rasuah membabitkan peniaga memberi suapan kepada pihak berkuasa membuktikan masih terdapat individu yang tidak gentar dengan hukuman jenayah tersebut.

Pengerusi Rasuah Busters Perlis, Dr Nor Halmey Hamdah berkata, kebanyakan individu yang berani melakukan jenayah rasuah terbiasa berbuat demikian kerana tidak takut dengan undang-undang di Malaysia.

Iklan
Iklan

"Saya sangat hairan dengan golongan berkenaan. Hukuman berkaitan dengan jenayah ini sangat dahsyat seperti denda dan penjara, tetapi mereka masih berani beri serta mengambil suapan.

"Setiap hari media melaporkan berkenaan pesalah rasuah, namun masih tetap buat perkara terkutuk itu,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Jumaat.

Iklan

Media sebelum ini melaporkan, seorang pemilik syarikat aksesori telefon mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Johor Bahru kerana memberi suapan kepada penguat kuasa Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) sebanyak RM3,000, Januari lalu.

Tertuduh, Tan Poh Wey, 41, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim, Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail.

Iklan

Dalam pada itu, Nor Halmey berkata, antara faktor isu rasuah dalam kalangan masyarakat berlaku apabila golongan terbabit merasa terdesak oleh sesuatu keadaan.

"Sebagai contoh, dalam situasi mahu mempercepatkan proses, mereka ‘tiada pilihan’ melainkan terpaksa hulur wang kopi.

"Jangan lupa, jika seseorang memberi maka ada yang akan menerima.

"Ada juga kerenah birokrasi sengaja mewujudkan senario agar rasuah itu boleh berlaku. Kononnya banyak proses untuk siapkan, bila sudah bagi suapan terus cepat siap,” ujarnya.