Nafizoh menunjukkan makanan tradisional sejuk beku keluaran Legasi Warisan Fizfazd
SITI NOOR FAEZAH MUDA
12 Oct 2024 9:45 am
SHAH ALAM - Mendepani persekitaran ekonomi yang semakin kompetitif, majikan sering berdepan dengan cabaran besar seperti kos operasi meningkat dan tenaga kerja yang kurang berkemahiran.
Bagaimanapun, bagi kebanyakan majikan daripada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di Malaysia, Belanjawan 2024 telah membawa nafas baru.
Melalui pelbagai inisiatif yang diperkenalkan Kementerian Kewangan (MOF), mereka kini dapat mengembangkan perniagaan dengan sokongan kerajaan.
Menerusi Belanjawan 2024, kerajaan menyediakan DFI – Mikro Kredit bagi kemudahan pinjaman kepada usahawan mikro dari pelbagai segmen termasuk penjaja, veteran, wanita, belia, perintis, Sabah atau Sarawak orang kurang upaya (OKU), komuniti Cina dan India berjumlah RM2 bilion. Pembiayaan diberikan berjumlah RM361.2 juta kepada 20,000 penerima.
Dalam pada itu, kerajaan turut menyediakan Program Sejahtera Komuniti MADANI (SejaTi MADANI) berbentuk geran antara RM50 ribu hingga RM100 ribu berjumlah RM1 bilion kepada komuniti berdasarkan lima sektor iaitu pertanian & makanan, jahitan & kraftangan, herba & kesihatan, pelancongan & hospitaliti serta aktiviti hijau & kitar semula.
Perbelanjaan tersebut berjumlah RM93.4 juta melibatkan 1,107 komuniti.
Pekerja pula mendapat manfaat melalui program latihan yang meningkatkan kemahiran, memberikan impak positif kepada syarikat dan ekonomi secara keseluruhan.
Perkara tersebut diakui pengusaha makanan tradisional sejuk beku, Nafizoh Abu Suaid, 37, yang mengakui setelah mendapat tiga kali bantuan kerajaan kini perusahaannya semakin stabil dan mengukuh.
"Saya telah mendapat bantuan tiga kali daripada Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA). Bantuan itu berbentuk barangan seperti pengadun, penyejuk beku, mesin dodol dan pengisar industri berjumlah RM10,000, mesin perlabelan (RM10,000) serta pemilikan sijil halal (RM20,000).
Iklan
Iklan
Iklan
Iklan
"Sejak ada perlabelan jenama hasil bantuan kerajaan, pelanggan tetap Legasi Warisan Fizfazd semakin bertambah. Sebelum ini kami hanya memperkenalkan produk menerusi media sosial sahaja namun kini sudah mendapat sambutan di beberapa negeri lain seperti Pulau Pinang, Negeri Sembilan dan Kuala Lumpur," ujarnya.
Program Pembangunan Usahawan merupakan salah satu bantuan RISDA seperti modal perniagaan, kursus keusahawanan dan lain-lain bagi memberi manfaat kepada pekebun kecil untuk menambah pendapatan melalui perniagaan.
Antara objektif program tersebut adalah melahirkan 12,500 usahawan baru pada akhir tahun 2025 dan 5 peratus daripada usahawan pekebun kecil mencapai status Usahawan Mikro dan ke atas pada akhir tahun hadapan.
Selain itu jabatan berkenaan turut mendidik, membimbing dan membangunkan usahawan baru serta sedia ada melalui Program Bimbingan, Latihan dan Pemantauan Keusahawanan RISDA (RRapUP).
Kata Nafizoh, besar harapannya untuk mendapat sokongan lain agar dapat mempromosikan produk keluarannya seperti ketupat palas sejuk beku ke luar negara pada suatu hari nanti.
Lebih efektif
NIZAM
Sementara itu, seorang pekerja dalam bidang mekanikal dan elektrikal, Nizam Zainal, 35, berkata, Program Latihan Madani diberikan kerajaan yang disertainya di bawah Human Resource Development Corporation (HRD Corp) meningkatkan kemahiran teknikal dan pengetahuan.
"Ini termasuklah pembelajaran mengenai teknologi baharu, proses kerja yang lebih efisien dan pengetahuan industri terkini.
"Saya sebagai pekerja yang terlatih juga dapat menyelesaikan tugas dengan lebih efektif dan boleh mengurangkan kesilapan serta bertanggungjawab dalam meningkatkan produktiviti syarikat," katanya.
Ujarnya lagi, dalam dunia yang sentiasa berubah ini, latihan bukan sekadar pilihan tetapi satu keperluan untuk mencapai kejayaan.
Pertumbuhan ekonomi lebih mampan
Sementara itu, Penganalisis Ekonomi, Dr Mohamad Khair Afham Muhamad Senan berkata, Belanjawan 2024 memperkenalkan pelbagai inisiatif direka untuk menyokong majikan dan pekerja yang mendorong pertumbuhan ekonomi yang lebih mampan.
MOHAMAD KHAIR
"Pelaburan dalam modal insan dan inovasi teknologi berpotensi untuk memainkan peranan penting dalam meningkatkan produktiviti dan daya saing.
"Sebagai contoh, peruntukan RM1.6 bilion kepada HRD Corp untuk melatih kira-kira 1.7 juta pekerja akan meningkatkan modal insan di Malaysia, ia penting untuk mengekalkan daya saing dalam ekonomi global.
"Peningkatan dalam teknologi dan kemahiran pekerja boleh membawa kepada pertumbuhan ekonomi jangka panjang," katanya.
Tambahnya, peruntukan RM6.8 bilion untuk Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) menunjukkan fokus kepada memperkukuhkan kemahiran teknikal yang akan membantu industri utama menjadi lebih inovatif dan efisien.
Menurutnya, dalam jangka panjang, langkah-langkah tersebut akan meningkatkan produktiviti marginal pekerja, output nasional dan menyokong pertumbuhan ekonomi agregat.
"Bagi majikan, peruntukan seperti geran pendigitalan sebanyak RM100 juta untuk lebih daripada 20,000 PKS membolehkan peningkatan produktiviti melalui penggunaan teknologi digital.
"Peningkatan dalam keupayaan pengeluaran melalui pelaburan teknologi ini boleh meningkatkan penawaran agregat negara seterusnya akan menurunkan kos barangan dan perkhidmatan serta menggalakkan pertumbuhan ekonomi.
"Majikan yang berdaya saing dan pekerja yang lebih berkemahiran berpotensi mempercepatkan pertumbuhan sektor PKS," katanya.
Tingkat kecekapan pengeluaran
Mohamad Khair berkata, peningkatan dalam kemahiran pekerja akan meningkatkan kecekapan pengeluaran yang membolehkan firma PKS beroperasi pada kos purata lebih rendah dan menjadi lebih kompetitif dalam pasaran.
Ujarnya, teknologi dan inovasi yang dibawa oleh pekerja lebih mahir menyumbang kepada pertumbuhan jangka panjang.
"Langkah-langkah seperti peruntukan RM40 juta untuk program Shop Malaysia Online memberi PKS akses yang lebih baik kepada pasaran digital, membantu mempercepatkan penembusan industri tersebut ke dalam pasaran baharu.
"Dengan memperluaskan pasaran melalui digitalisasi, PKS boleh meningkatkan pendapatan dan menyumbang lebih banyak kepada perolehan agregat negara.
"Peruntukan RM28 juta untuk inisiatif MyStartup menunjukkan komitmen kerajaan untuk memperkukuhkan ekosistem startup dengan menumpukan kepada industri bernilai tinggi seperti ekonomi digital dan teknologi atau ekonomi hijau," katanya.
Secara keseluruhannya,Mohamad Khair berkata, dengan gabungan modal insan yang lebih baik dan sokongan teknologi yang kukuh, sektor PKS di Malaysia dijangka menjadi pemangkin utama kepada pertumbuhan ekonomi negara dalam beberapa tahun akan datang.
"Malaysia kini berada pada landasan yang baik untuk mencapai pertumbuhan lebih mampan dan inklusif melalui pemerkasaan majikan dan pekerja," katanya.
REAKSI
NURUL AINI
Bantuan RISDA berbentuk barangan bernilai RM10,000 sangat membantu saya menghasilkan kek dan biskut dalam jangka masa cepat dalam satu masa. Jualan turut meningkat sebanyak 25 peratus selepas mendapat bantuan itu. Saya juga ada mengambil pekerja daripada warga setempat namun hanya secara separuh masa buat masa ini. - Majikan Dapur Mami, Nurul Aini Mohamed Ali, 36
KHAIRUL AKMAL
Program Latihan Madani lengkap dengan kemahiran dan pengetahuan khusus melalui latihan. Ia membantu memperbaiki diri taraf hidup melalui pekerjaan jangka panjang baharu dan peluang menjana pendapatan.- Pekerja swasta, Khairul Akmal Barkawi, 41
NUR ALIA
Diharap bantuan berbentuk kewangan dan latihan ini diteruskan ke masa hadapan untuk membentuk makin ramai usahawan terutama bidang pertanian serta perternakan disebabkan ramai anak muda yang tidak mahu mencebur diri dalam industri ini.
Saya mendapat bantuan Tunas Usahawan Muda (Tube) dan Amanah Ikhtiar bagi perniagaan ternakan ikan talapia dan cendawan tiram.- Majikan Aura Attiya Empire, Nur Alia Natasya Abdul Hafiz, 27