KBS salur RM4.6 juta kepada 10 negeri naik taraf saliran, rumput stadium utama

Iklan
IMBAS KEMBALI... Perlawanan Perak menentang JDT yang ditangguhkan berikutan keadaan padang pada 5 Oktober lalu.

[DIKEMAS KINI] KEMENTERIAN Belia dan Sukan (KBS) menyalurkan geran berjumlah RM4.6 juta kepada 10 negeri bagi pelaksanaan projek menaik taraf padang bola sepak di stadium utama negeri masing-masing.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, lapan negeri iaitu Negeri Sembilan, Kelantan, Pahang, Terengganu, Selangor, Perak, Kuala Lumpur dan Melaka menerima peruntukan penuh RM500,000 bagi skop kerja menaik taraf saliran dan penukaran rumput.

Iklan
Iklan

Perlis dan Kedah pula masing-masing hanya menerima RM300,000 kerana hanya mahu menaik taraf sistem saliran dan tidak mahu menukar rumput.

"Empat lagi negeri tidak terima peruntukan itu (pertamanya) Johor kerana stadium mereka sudah bagus. Sabah dan Pulau Pinang tidak mahu terima peruntukan (kerana) tidak perlu naik taraf saliran dan tidak mahu tukar rumput.

Iklan

"Sarawak minta ditunda kerana mereka tidak boleh jalankan kerja sebelum SUKMA (Sukan Malaysia) 2024 disempurnakan.

"Garis masa untuk kerja-kerja naik taraf itu diselesaikan adalah sehingga Jun tahun depan,” katanya pada sidang media Status Pelaksanaan Projek Menaik Taraf Padang Bola Sepak Di Stadium Utama Negeri di Menara KBS, pada Jumaat.

Iklan

Sementara itu, beliau berharap lapan negeri yang menerima geran penuh akan menggunakannya berdasarkan skop yang telah ditetapkan bagi memastikan tiada gangguan ke atas perjalanan liga pasukan di negeri masing-masing.

Katanya, inisiatif itu mempunyai objektif untuk meningkatkan kualiti permainan serta saingan liga selepas timbul keperluan akibat perubahan kalendar Liga Malaysia (Liga-M) yang menyebabkan perlawanan berlangsung semasa musim hujan.

"KBS minta semua negeri ambil serius, kalau sudah terima duit untuk tukar rumput jangan kekal dengan rumput jenis cow grass saja, mereka kena tukar.

"Ada yang kita dengar tak nak tukar, nak kekal cow grass padahal telah terima duit, ada juga yang menulis surat kepada kita untuk gunakan duit itu bagi tujuan naik taraf tandas, jadi perkara ini memang tidak dibenarkan.

"Kita juga akan audit untuk pastikan kalau terima RM300,000 untuk naik taraf saliran, mereka tak boleh jalankan kerja skop RM100,000 dan simpan RM200,000 untuk kegunaan lain,” katanya.

Dalam pada itu, Hannah berkata, geran yang diberikan itu akan ditarik balik bagi mana-mana negeri yang tidak berupaya untuk melaksanakan projek menaik taraf berkenaan.

Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail yang juga pemilik Johor Darul Ta'zim (JDT) membangkitkan isu kualiti permukaan padang selepas aksi Liga Super membabitkan JDT dan Perak di Stadium Perak, Ipoh ditunda pada Sabtu lalu.

Perlawanan itu ditunda kepada satu tarikh lain atas faktor keadaan padang yang tidak sesuai untuk beraksi.

Januari lalu, KBS menawarkan geran sebanyak RM7 juta kepada seluruh negeri bagi menaik taraf saliran serta penanaman rumput padang di stadium terpilih. - Bernama