VIENTIANE - Malaysia yang memegang tampuk kepengerusian ASEAN tahun depan akan meningkatkan usaha menarik pelaburan dan perdagangan rakan dialog blok itu ke rantau ini, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Justeru, beliau berkata, Malaysia akan terus memanfaatkan kerjasama antarabangsa termasuk menerusi kerjasama di bawah Sidang Kemuncak Asia Timur melibatkan 18 negara iaitu 10 negara ASEAN, Australia, China, India, Jepun, New Zealand, Rusia, Korea Selatan dan Amerika Syarikat.
"Malaysia berhasrat untuk memanfaatkan pertemuan ini agar dapat membantu menarik pelaburan dan meningkatkan perdagangan, termasuk meningkatkan penjualan produk kelapa sawit," kata beliau.
Anwar berkata demikian kepada media Malaysia pada hari terakhir Sidang Kemuncak ASEAN ke-44 dan ke-45 dan Sidang Kemuncak Berkaitan, di sini, pada Jumaat.
Beliau berkata, Malaysia akan melancarkan Wawasan Komuniti ASEAN 2045, sebuah rangka kerja strategik yang bertujuan untuk membimbing kerjasama serantau dalam tempoh dua dekad akan datang.
"Ini satu kesempatan sangat baik dan ia juga telah disepakati," kata beliau.
Sementara itu Perdana Menteri berkata, Malaysia juga akan membantu mempercepat proses penerimaan Timor-Leste sebagai ahli penuh blok berkenaan.
Bagaimanapun, kata beliau, negara itu masih perlu memenuhi beberapa syarat yang ditetapkan.
Anwar berkata, menerusi Kementerian Luar, Malaysia akan berusaha mempercepat proses itu dan membantu kemasukan Timor-Leste.
"Kebanyakan kekangan adalah berkenaan peraturan ekonomi dan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Malaysia, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz akan membantu dari segi kelulusan beberapa prasyarat yang diperlukan," kata beliau. - Bernama