Tak sampai lima minit bayar ikat jamin kes amang seksual, guru ditahan JHEAIN

Iklan
Suspek diiring pegawai penguat kuasa JHEAINS ketika hadir ke mahkamah.

SEREMBAN - Tidak sampai lima minit selesai membayar jaminan di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan melakukan amang seksual, seorang guru ditahan pula oleh Jabatan Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) pada Jumaat.

Lelaki berusia 33 tahun itu ditahan kira-kira jam 3 petang selepas disyaki mengajar agama tanpa tauliah di sebuah madrasah di Lenggeng, Nilai.

Iklan
Iklan

Ketua Unit Operasi Bahagian Penguatkuasaan JHEAINS, Ahmad Zaki Hamzah berkata, penahanan suspek susulan tangkapan terhadap pengerusi tempatnya mengajar pada 30 September lalu.

"Kita tahan pengerusinya sebelum ini di bawah Seksyen 22 Enakmen Kawalan Sekolah-Sekolah Agama Islam Negeri Sembilan 1996 dan Seksyen 52 Enakmen Jenayah Syariah Negeri Sembilan 1992 (Pindaan 2019) kerana menguruskan sekolah tanpa kebenaran JHEAINS.

Iklan

"Namun hasil siasatan lanjut mendapati, seorang guru di situ iaitu suspek telah mengajar agama tanpa tauliah yang merupakan kesalahan di bawah Seksyen 53 Enakmen Jenayah Syariah Negeri Sembilan Pindaan 2019," katanya ditemui pemberita di Mahkamah Syariah di sini pada Jumaat.

Jelasnya, berdasarkan maklumat diperoleh, madrasah berkenaan mempunyai pelajar lelaki seramai 40 orang berusia antara sembilan hingga 14 tahun.

Iklan

Sehubungan itu katanya, suspek telah ditahan pada jam 3 petang setelah selesai membayar jaminan di pekarangan Mahkamah Seremban bagi pertuduhan melakukan amang seksual di bawah siasatan polis.

Ujarnya, permohonan jaminan terhadap suspek telah dibuat di Mahkamah Rendah Syariah Seremban pada jam 9 malam bagi tujuan melengkapkan kertas siasatan sekali gus memastikan suspek hadir ke mahkamah pada tarikh sebutan akan datang.

Jelasnya, Hakim Syarie, Hamizan Mohd Nor memutuskan suspek dilepaskan dengan bon jaminan dan diperintahkan membayar wang jaminan RM2,500 dengan dua penjamin warganegara yang merupakan ahli keluarga.

"Suspek turut diminta melapor diri setiap bulan di pejabat penguat kuasa dan tidak boleh menganggu saksi sehingga kes selesai.

"Sebutan semula bagi pertuduhan ditetapkan 3 Disember depan," katanya.

Sementara itu Pengarah JHEAINS, Mohd Asri Abdullah mengesahkan penahanan suspek.

Sebelum ini Sinar Harian melaporkan, lelaki berkenaan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Jumaat atas pertuduhan melakukan amang seksual terhadap seorang penghuni madrasah berusia sembilan tahun, tahun lalu.