FLORIDA - Ancaman hurikan Milton semakin lemah dan menjadi ribut kategori satu selepas ia membadai kawasan berhampiran Siesta Key, Florida, Amerika Syarikat (AS) sebagai ribut kategori tiga pada lewat Rabu.
Pusat Hurikan Kebangsaan Amerika Syarikat (NHC) bertindak menurunkan ancaman Milton yang menurut ramalan awal dijangka menjadi ribut kategori lima pada awal minggu lalu.
Impak amukan Milton itu turut menyebabkan lebih tiga juta kediaman dan premis perniagaan terputus bekalan elektrik.
Milton membawa angin kencang berkelajuan sehingga 150 kilometer sejam dan hujan lebat yang mencetuskan banjir kilat serta puting beliung hingga memaksa ratusan ribu penduduk di pesisir pantai di Tampa yang berpopulasi lebih tiga juta penduduk berpindah.
Sebanyak 11 kematian direkodkan akibat tornado dibawa Milton 'mengganas' di pantai timur Florida.
Presiden Joe Biden turut diberi taklimat tentang 'impak awal' Milton selepas ia diramalkan menjadi hurikan paling membinasakan di Florida dalam tempoh lebih seabad.
Ia tiba dua minggu selepas Helene menyebabkan kemusnahan besar di seluruh tenggara AS dan mengorbankan 237 orang.
Beberapa kawasan yang binasa dan masih belum pulih sepenuhnya akibat Helene terpaksa menghadapi impak dibawa Milton pula, ibarat sudah jatuh ditimpa tangga.
Sebagai persediaan menghadapi ketibaan Milton, kawasan tepi pantai Sarasota yang berpopulasi 57,000 penduduk dilaporkan lengang seperti 'bandar hantu' selepas kebanyakan penduduk masih berlindung.
"Situasi itu amat mendebarkan kerana melihat impak Helene yang seperti 'kiamat kecil' sebelum ini. Perasaan kami bercampur-baur kerana memikirkan nasib akan datang,” kata penduduk dikenali sebagai Brad Reeves, 55.
Di pusat bandar, beberapa hotel dijadikan tempat berlindung sementara segelintir penduduk setempat yang enggan berjauhan dengan rumah masing-masing.
Ramai yang turut membawa haiwan peliharaan mereka.
"Kami tidak sanggup meninggalkan ia di rumah dan perlu bersama-sama kami ke mana sahaja,” menurut Samuel Urzua, 53, merujuk kepada anjing kesayangannya digelar Bombon.
Saintis percaya taburan hujan luar biasa dan ribut kuat mengakibatkan kebinasaan dahsyat berlaku dengan lebih kerap di beberapa benua kerana peningkatan suhu disebabkan fenomena perubahan iklim. - Agensi