KUALA TERENGGANU - Menjamu selera sambil menikmati pemandangan indah di tepi Sungai Terengganu sudah pasti memberi pengalaman menarik kepada pengunjung yang mahu merehatkan minda daripada hiruk-pikuk di bandar.
Lebih menarik, peminat kari kepala ikan boleh merasai juadah tersebut di sebuah warung di bawah jambatan yang terletak di tepi sungai sambil menikmati pemandangan indah dengan deruan air sungai yang menenangkan.
Warung Santai D’ River yang terletak di Pasir Tinggi itu berjaya menarik kedatangan pengunjung dari seluruh negara untuk merasai pengalaman makan secara santai sambil menghirup udara segar di tepi sungai.
Pemilik Warung Santai D’ River, Abdul Mutalib Mohamad, 37, berkata, idea untuk mengusahakan warung di tepi sungai itu tercetus pada tahun 2016.
"Kedai ini pada awalnya dibuka pada tahun 2016 dengan menjual makanan seperti nasi lemak dan mi kari. Namun setahun kemudian, timbul idea untuk menjual menu baharu iaitu kari kepala ikan.
"Sudah tentu ia memberi pengalaman menarik dan baharu kepada pelanggan yang boleh menikmati juadah kari kepala ikan di bawah jambatan sambil menikmati pemandangan indah Sungai Terengganu,” katanya kepada Sinar Harian.
Menurutnya, kedai makan tersebut mampu memuatkan seramai 350 pelanggan pada satu masa.
Tambahnya, selain kari kepala ikan, antara menu popular dalam kalangan pelanggan adalah kari kambing, kambing bakar, pelbagai lauk kampung serta ulam-ulaman.
Abdul Mutalib berkata, kedai makan miliknya itu turut menjadi destinasi persinggahan bagi pelancong yang menaiki bot dikenali sebagai Payang Water Taxi ketika menyusuri sungai Terengganu.
"Menerusi pakej yang ditawarkan, pengunjung akan menaiki Payang Water Taxi dari Pasar Payang dan beberapa lokasi ditetapkan untuk menyusuri Sungai Terengganu dan kemudian akan berhenti dan singgah makan di warung ini.
"Sudah pasti warung ini berjaya menarik minat pelancong yang menginginkan kelainan dalam pengembaraan makanan,” ujarnya.
Sementara itu, seorang pengunjung dari Selangor, Amalia Rahdee, 25, berkata, dia bersama rakan-rakannya ingin merasai pengalaman makan secara santai sambil menikmati keindahan Sungai Terengganu.
"Memang berbaloi datang ke sini sebab pemandangan yang cantik selain restoran ini menawarkan pelbagai lauk kampung yang sedap dan menyelerakan.
"Sebelum ini kami sudah puas menikmati nasi dagang, jadi kali ini ingin mencuba sajian kari kepala ikan yang dimasak khas dari Terengganu,” ujarnya.