Kedai popia terkenal ada najis tikus diarah tutup

Iklan
Makanan yang disediakan diletakkan di atas lantai dalam premis itu.

MELAKA - [DIKEMAS KINI] Tindakan sebuah premis popia terkenal di jalan Munshi Abdullah di sini yang meletakkan makanan atas lantai akhirnya menerima padah selepas diarahkan tutup operasi selama 14 hari bermula Jumaat.

Malah pemeriksaan yang dilakukan oleh penguat kuasa Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Melaka mendapati selain kotor, terdapat juga najis tikus selain bahan mentah pula diletakkan bersebelahan dengan tong sampah.

Iklan
Iklan

Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan, Datuk Ngwe Hee Sem, berkata, penutupan premis itu dilakukan selepas penguat kuasa mendapati premis tidak mengambil berat tahap kebersihan.

Hee Sem

Menurutnya penutupan selama 14 hari itu dibuat selepas pemeriksaan dilakukan mendapati premis berada dalam keadaan tidak bersih apabila makanan disediakan diletakkan di atas lantai.

Iklan

"Pasukan penguat kuasa juga mendapati tauhu basah diletakkan di atas lantai dan tempat membungkus popia berselerak dengan bahan yang boleh menyebabkan pencemaran kepada makanan.

"Semua pekerja didapati tidak memakai pakaian perlindungan diri (PPE) ketika mengendali makanan selain pekerja wanita pula memakai perhiasan diri," katanya.

Iklan
Terdapat najis tikus di premis popia berkenaan.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyertai Operasi Bersepadu Penguatkuasaan Akta Kawalan Produk Rokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) di Bukit Baru, di sini, pada malam Khamis.

Tambah beliau, sebanyak lima notis berjumlah RM1,600 dikeluarkan JKN Melaka kepada pihak premis terbabit.

Ujar beliau, premis berkenaan antara 24 premis menjual makanan di daerah Melaka Tengah diperiksa namun hanya tiga yang diarahkan tutup bagi membolehkan kerja-kerja pembersihan dibuat dalam tempoh yang diberikan.

"Selain premis popia itu dua lagi yang diarahkan tutup kerana tahap kebersihan tidak baik adalah gerai jualan sarapan pagi.

"Kesemua tiga-tiga premis ini diarahkan tutup mengikut Seksyen 11 Akta Makanan 1983 sehingga 21 Oktober," katanya.

Dalam operasi sama semalam juga, sebanyak 56 notis dibawah Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan (PPKM) 2009, dikeluarkan dengan nilai tawaran kompaun RM16,200.