Dua lagi positif koronavirus di Singapura, bertambah menjadi 30 kes

Iklan
Kementerian Kesihatan (MOH) Singapura telah mengesahkan dua lagi kes positif jangkitan koronavirus, menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 30 kes di republik itu. GAMBAR HIASAN.

SINGAPURA- Kementerian Kesihatan (MOH) Singapura telah mengesahkan dua lagi kes positif jangkitan novel koronavirus 2019 (2019-nCOV), menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 30 kes di republik itu.

Daripada jumlah itu, MOH berkata, satu kes disahkan hari ini iaitu seorang lelaki warga Singapura berusia 41 tahun yang tiada sejarah perjalanan ke China dan tiada kaitan dengan kes-kes yang dilaporkan sebelum ini.

Iklan
Iklan

"Kes ini disahkan lewat malam semalam dan pengesanan kontak sedang berjalan dengan tumpuan mengenal pasti sebarang hubungan dengan kes-kes sebelum ini atau pengunjung dari China,” katanya dalam perkembangan terbaru hari ini.

Setakat ini, kementerian itu, berkata, kesemua kes yang disahkan sebelum ini merupakan pengunjung China dari Hubei atau individu yang mempunyai kaitan dengan pengunjung China.

Iklan

"Kami sedang menemuramah pesakit dan kenalan rapatnya dan menyiasat lokasi yang dikunjunginya baru-baru ini,” kata kementerian itu.

Sementara itu, MOH berkata, kes lain melibatkan seorang lelaki Singapura berusia 27 tahun yang menyertai satu mesyuarat perniagaan persendirian di Hotel Grand Hyatt Singapora dari 20 hingga 22 Januari lalu.

Iklan

Mangsa bersama 14 penduduk Singapura lain yang menghadiri mesyuarat itu bersama peserta dari China termasuk dari Hubei dan dua warga Korea Selatan dan seorang rakyat Malaysia didapati positif virus itu selepas meninggalkan Singapura.

Beliau juga merupakan salah satu daripada empat peserta tempatan yang sebelum ini melaporkan gejala dan telah dirujuk ke Pusat Nasional Bagi Penyakit Berjangkit (NCID) untuk penilaian.

Mengemaskini keadaan 28 kes yang disahkan sebelum ini, MOH berkata, seorang telah dibenarkan pulang dari hospital manakala kebanyakan 25 pesakit berada dalam keadaan stabil atau semakin pulih.

Bagaimanapun, keadaan dua pesakit bertambah buruk dengan seorang daripadanya kini dalam keadaan kritikal di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan seorang lagi memerlukan sokongan oksigen tambahan, kata MOH.- BERNAMA