Ribuan penduduk terperangkap di utara Gaza akibat serangan Israel

Iklan
Bangunan yang musnah selepas pengeboman Israel di kem pelarian Bureij di tengah Semenanjung Gaza. Foto Xinhua

ANKARA - Ribuan rakyat Palestin terperangkap di kem pelarian Jabalia di utara Semenanjung Gaza susulan serangan berterusan Israel sejak enam hari lalu, kata Doctors Without Borders (MSF) pada Jumaat.

MSF dalam satu kenyataan di platform X memaklumkan walaupun tentera Israel menuntut penduduk Palestin meninggalkan kawasan mereka di Jabalia, pada masa yang sama ia 'melakukan serangan yang menghalang orang ramai untuk keluar dengan selamat,' lapor Agensi Anadolu.

Iklan
Iklan

"Pemindahan paksa dari kediaman dan pengeboman kawasan perumahan oleh tentera Israel telah menjadikan utara Gaza sebagai kawasan runtuhan yang tidak boleh didiami," menurut kenyataan itu.

Pertubuhan antarabangsa itu menyeru tentera Israel"untuk menghentikan pemindahan paksa dan menghentikan serangan menyeluruh terhadap penduduk di Gaza," selain memastikan perlindungan orang awam dan hospital.

Iklan

Pada Selasa, Kementerian Kesihatan Gaza melaporkan bahawa tentera Israel telah memberi amaran kepada tiga hospital di utara Gaza untuk memindahkan kakitangan dan pesakit, dengan ancaman pembunuhan, kemusnahan dan penahanan, sama seperti situasi di Hospital Al-Shifa beberapa bulan lalu.

Pengumuman itu dibuat selepas tentera Israel melancarkan operasi ketenteraan di Jabalia di utara Gaza pada Ahad, dengan alasan untuk menghalang Hamas daripada mendapatkan semula kekuatan di kawasan itu.

Iklan

Ini berikutan serangan sengit di kawasan timur dan barat utara Gaza sejak Mei.

Sejak memulakan serangannya ke atas Gaza pada Oktober 2023, Israel mengikut corak yang sama dengan mengisytiharkan kawasan tertentu sebagai"zon selamat", menggesa penduduk Palestin berpindah ke sana, namun masih menyerang mereka di zon itu atau dalam perjalanan ke kawasan yang dijanjikan selamat.

Israel meneruskan serangan kejamnya ke atas Semenanjung Gaza walaupun terdapat resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu menggesa gencatan senjata segera.

Lebih 42,100 orang telah terkorban, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, dan lebih 98,100 yang lain cedera, menurut pihak berkuasa kesihatan tempatan.

Serangan Israel telah menyebabkan hampir keseluruhan penduduk Semenanjung Gaza kehilangan tempat tinggal di tengah-tengah sekatan berterusan yang telah mengakibatkan kekurangan bekalan makanan, air bersih dan ubat-ubatan.

Usaha perantaraan yang diketuai oleh Amerika Syarikat, Mesir dan Qatar untuk mencapai perjanjian gencatan senjata dan pertukaran tawanan antara Israel dan Hamas telah gagal disebabkan keengganan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu untuk menghentikan perang. - Bernama