PETALING JAYA - Seorang wanita ditemui maut dalam tandas selepas kotak suis kediamannya di sebuah apartment di Sunway Damansara di sini terbakar pada Sabtu.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, sepasukan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Damansara dikejarkan ke lokasi selepas menerima panggilan pada jam 8.39 pagi.
"Operasi pemadaman api turut melibatkan bantuan BBP Petaling Jaya dan BBP Sungai Buloh.
"Didapati kebakaran kotak suis berlaku di sebuah unit rumah di tingkat 14," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Tambahnya, terdapat tiga penghuni termasuk dua wanita kesemua berusia lingkungan 24 hingga 31 tahun.
Beliau berkata, dua mangsa dilapor selamat, namun seorang wanita berusia 31 tahun ditemui dalam tandas dan disahkan meninggal dunia.
"Kebakaran berjaya dikawal pihak bomba," ujarnya.