Pembunuhan, kemusnahan di Asia Barat mesti berakhir - PBB

Iklan
Serpihan bangunan yang musnah di kejiranan Haret Hreik, pinggir selatan selatan Beirut. Foto AFP

GENEVA - Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Hak Asasi Manusia, Volker Turk berkata, bahawa kini lebih daripada sebelumnya keberanian politik, kepimpinan dan belas kasihan amat diperlukan di Asia Barat, lapor Agensi Berita Emirates (WAM).

"Pembunuhan, kemusnahan serta sikap suka berperang oleh mereka yang berkuasa mesti berakhir. Tiada alternatif untuk menyelesaikan konflik ini selain daripada meja rundingan. Konflik yang meluas dan peningkatan ketegangan secara progresif meletakkan nyawa dan kesejahteraan jutaan orang di seluruh rantau ini dalam bahaya," kata Turk dalam satu kenyataan mengenai situasi di Timur Tengah.

Iklan
Iklan

Jurucakap Pesuruhjaya Tinggi PBB bagi Hak Asasi Manusia, Ravina Shamdasani dalam sidang media di Geneva pada Jumaat berkata:"Pesuruhjaya Tinggi Volker Turk mengingatkan semua pihak mengenai kewajipan mereka untuk mematuhi undang-undang kemanusiaan antarabangsa atau peraturan perang berkenaan perlindungan orang awam, objek awam dan infrastruktur. Sebarang dakwaan pelanggaran mesti disiasat dengan segera dan menyeluruh serta mereka yang bertanggungjawab jika pelanggaran didapati berlaku mesti dibawa ke muka pengadilan."

Beliau berkata, situasi bagi orang awam di lapangan di Lubnan, Gaza, Israel dan Syria semakin teruk dari hari ke hari. Ibu kota Beirut yang padat dengan penduduk semakin kerap diserang oleh serangan udara Israel, ratusan orang terkorban, dan lebih sejuta orang telah melarikan diri dari rumah mereka di seluruh negara. Hizbullah dan kumpulan bersenjata lain terus melancarkan roket ke Israel.

Iklan

"Penghinaan berterusan terhadap PBB, khususnya UNRWA (Agensi Kerja dan Bantuan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin di Timur Dekat) adalah tidak boleh diterima. Retorik toksik seperti ini dari mana-mana sumber mesti dihentikan."

"Adalah penting untuk kita terus memberi tumpuan kepada penderitaan manusia yang menakutkan yang berterusan di Gaza. Sepanjang seminggu lepas, tentera Israel telah meningkatkan operasi ketenteraan di utara Gaza seterusnya memisahkan kawasan itu dari seluruh Semenanjung Gaza dan mempertaruhkan nyawa orang awam di kawasan itu," beliau mengakhiri kenyataan itu. - Bernama

Iklan