SHAH ALAM - Anjing liar diberi nama Kopi yang pernah tular pada Mac lalu selepas videonya bermain dengan anak kucing terbiar, di sebuah taman perumahan di Terengganu ditemui mati dipercayai ditembak.
Akaun Facebook My Forever Doggo (MFD) berkongsi video berdurasi 52 saat yang memaparkan anjing liar itu mati akibat kecederaan serius.
Menurut MFD, kejadian itu disedari seorang penduduk di taman perumahan itu selepas terdengar bunyi tembakan kuat.
"Dia bergegas keluar dari rumahnya dan mendapati Kopi terbaring berlumuran darah dalam keadaan kesakitan, sayangnya Kopi tidak sempat diselamatkan," kata MFD.
Kopi mula menjadi tular pada Mac lalu selepas videonya bermain dengan anak kucing terbiar disiarkan pengguna TikTok AbbyRaz, yang sehingga kini ditonton lebih 159,800 kali.
Sementara itu, Persatuan Haiwan Terbiar Malaysia (SAFM) dengan tegas mengutuk tindakan tidak berperikemanusiaan yang telah meragut nyawa Kopi.
"Kami menuntut agar Polis Diraja Malaysia dan Lembaga Kebajikan Haiwan dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar segera menjalankan siasatan menyeluruh terhadap kejadian ini.
"Siapa yang bertanggungjawab memberikan lesen atau kebenaran untuk tindakan kejam ini? Ia jelas melanggar etika dan nilai kemanusiaan," katanya.