DUNGUN - Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin (PSMZA) mendapat pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR) melalui The Longest Jalur Gemilang Human Trail @Bukit Bauk.
Rekod dilakar dengan penyertaan seramai 2,000 peserta yang berbaris di sepanjang jalan kiri dan kanan dari kaki bukit sehingga ke puncak sambil memegang bendera Malaysia.
Pengarah PSMZA, Zamra Derahman berkata, program tersebut merupakan salah satu usaha bagi memupuk semangat perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia tanpa mengira kaum.
Menurutnya, program dengan kerjasama Petronas Wilayah Timur itu juga menunjukkan kolaborasi aktif antara PSMZA bersama pihak industri.
"Menyahut saranan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir iaitu institusi tidak boleh terisolasi daripada persekitaran masyarakat setempat maka program ini dirancang bagi menggalakkan penglibatan aktif PSMZA bersama komuniti setempat di samping mengamalkan gaya hidup sihat.
"Jadi pada hari ini, seramai 2,000 peserta berbaris di sepanjang jalan dari kaki bukit sehingga puncak sambil memegang bendera Malaysia dengan anggaran panjang Jalur Gemilang Human Trail yang direkodkan adalah sepanjang 2,222 meter," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Perasmian The Longest Jalur Gemilang Human Trail @ Bukit Bauk di Taman Rekreasi Bukit Bauk di sini pada Sabtu.
Program itu dirasmikan oleh Pegawai Daerah Dungun, Jusman Ibrahim dan turut dihadiri Pegawai MBOR, Edwin Yeoh Tiong Chin.
Secara keseluruhan, program tersebut berjaya menghimpunkan lebih 2,000 peserta menyertai program di Taman Rekreasi Bukit Bauk melibatkan pelajar dan kakitangan PSMZA; kakitangan agensi kerajaan dan swasta serta orang awam.
Sebelum ini, PSMZA juga telah menerima pengiktirafan MBOR melalui pembinaan jam matahari pertama politeknik di Malaysia.