Kertas siasatan kes buli pelajar sekolah di KL sedang dilengkapkan - Polis

Iklan
Laporan Sinar Harian.

KUALA LUMPUR - Dua kertas siasatan kes buli anak seorang penyanyi dan beberapa individu lain di sebuah sekolah berasrama penuh di ibu negara sedang dilengkapkan untuk tindakan selanjutnya.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, Pejabat Peguam Negara (AGC) sebelum ini telah mengarahkan dua kertas siasatan dilengkapkan semula serta satu lagi kertas siasatan diberi arahan siasatan dalaman oleh pihak sekolah.

Iklan
Iklan

"Bagaimanapun, keputusan melibatkan arahan siasatan dalaman tersebut pada bila-bila masa boleh disemak semula jika ada sebarang perkembangan terkini.

"Dua lagi kertas siasatan telah diserahkan semula dengan arahan untuk dilengkapkan semula siasatan," katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar selepas program larian sempena Hari Sukan Negara 2024 di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur pada Sabtu.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan polis akan merekod keterangan beberapa pelajar Tingkatan Lima di sebuah sekolah berasrama penuh dekat sini bagi membantu siasatan kes buli.

Iklan

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, pihaknya telah membuka tiga kertas siasatan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan selepas menerima 12 laporan polis.

Menurutnya, siasatan awal mendapati kesemua mangsa terdiri daripada pelajar berusia antara 14 hingga 16 tahun manakala pembuli pula terdiri daripada pelajar berusia 17 tahun.

Sebelum ini, media melaporkan penyanyi kumpulan Spider, Tam atau nama sebenar Rustam Mustafah yang mendakwa anak lelakinya berusia 14 tahun menjadi mangsa buli.