Melaka catat dua kematian akibat denggi

Iklan
Dari kiri; Khairul Izan, Hee Sem dan Ruzita melihat nyamuk Aedes berwolbachia yang dipamerkan pada program itu.

MELAKA - Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Melaka merekodkan dua kematian akibat denggi dalam tempoh Januari sehingga awal Oktober ini.

Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan, Datuk Ngwe Hee Sem, berkata, kes kematian yang dilaporkan berlaku di daerah Jasin pada Mac lalu dan Melaka Tengah pada awal Oktober ini membabitkan pesakit dewasa, namun tiada kes kematian dicatatkan dalam tempoh sama pada tahun lalu.

Iklan
Iklan

Menurutnya, sebanyak 1,811 kes denggi telah direkodkan dalam tempoh tersebut dan daripada jumlah itu tujuh kes denggi dilaporkan berlaku di kawasan Rumah Angkatan Tentera Desa Taming Sari.

Katanya, trend kes denggi yang berlaku setiap tahun di kawasan itu membimbangkan dan kerana itu ia dipilih sebagai lokasi ketiga di Melaka bagi pelepasan sebanyak 12,400 nyamuk Aedes berwolbachia setiap kali perlepasan bermula Isnin ini.

Iklan

"Walaupun tiada lagi kes kematian denggi di kawasan perumahan ini, namun kita tetap bimbang dengan kes yang dilaporkan setiap tahun.

"Nyamuk Aedes berwolbachia dewasa ini akan dilepaskan sebanyak 30 kali dan projek ini akan dilakukan dalam tempoh dua tahun enam minggu selain dijangka berakhir pada November 2026," katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Pelepasan Nyamuk Aedes berwolbachia bagi Perumahan Tentera Desa Taming Sari di Dewan Serbaguna Kem Terendak, Sungai Udang di sini, pada Sabtu.

Hadir sama, Pengarah Kesihatan Negeri, Dr Ruzita Mustafa dan Komandar Artileri Divisyen 3, Divisyen Markas Artileri Divisyen 3 Divisyen, Brigedier Jeneral, Datuk Khairul Izan Muhammad Suffian.

Mengulas lanjut beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machap Jaya berkata, kes denggi yang dilaporkan bagi Minggu Epidemiologi (ME) ke-40 telah menunjukkan peningkatan sebanyak 915 kes atau 102.12 peratus berbanding tempoh sama pada tahun lalu.

"Kalau berbanding tahun lepas, kita hanya ada 896 kes denggi yang didaftarkan jadi tahun ini kita ada peningkatan 102 peratus.

"JKN juga telah menjalankan pelbagai tindakan termasuk pelepasan nyamuk Aedes berwolbachia dan akan diperluaskan di lokasi lain berdasarkan keperluan," ujarnya.