Belanjawan 2025: Harap peruntukan ahli Parlimen sokong PMX kekal

Iklan
Iskandar Dzulkarnain

KUALA KANGSAR - Kerajaan diharap mengekalkan peruntukan yang diberikan kepada ahli-ahli Parlimen bebas yang menyokong Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam Belanjawan 2025.

Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid berkata, peruntukan tersebut penting dalam memastikan rakyat di kawasan menikmati pelbagai insentif yang bakal disediakan kerajaan menerusi belanjawan itu.

Iklan
Iklan

"Belanjawan kali ini saya harap untuk rakyat kerana keadaan ekonomi dunia dengan peperangan masih tercetus di Asia Barat. Saya nak rakyat di Kuala Kangsar ini juga dapat manfaat daripada belanjawan ini.

"Kalau ditanya memanglah nak penambahan (peruntukan kepada wakil rakyat) tetapi kalau kekal Alhamdulillah, yang penting kita buat kerja untuk rakyat," katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas ditemui hadir ke Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Lepasan Sekolah Clifford Kuala Kangsar (OCA) di Dewan Tun Hamdan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Clifford di sini pada Sabtu.

Sementara itu, Iskandar Dzulkarnain turut meminta kerajaan memberikan perhatian terhadap infrastruktur yang uzur dan perlu dinaik taraf untuk kemudahan masyarakat setempat.

Iklan

Jelasnya, Pusat Kesihatan Manong antara infrastruktur yang memerlukan peruntukan untuk dinaik taraf dan diharap menjadi keutamaan di dalam Belanjawan 2025 nanti.

Menurutnya, selain kemudahan kesihatan, beberapa keperluan untuk menaik taraf infrastruktur pendidikan akan turut dibangkitkan pada sidang Parlimen kali ini.

Pembentangan Belanjawan 2025 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bakal menjadi tumpuan utama pada Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Parlimen ke-15 yang akan bersidang selama 35 hari bermula Isnin ini hingga 12 Disember depan.

Belanjawan bertemakan Ekonomi Madani, Negara Makmur, Rakyat Sejahtera itu adalah belanjawan ketiga yang digarap Kerajaan Madani di bawah pimpinan Anwar dan terakhir di bawah Rancangan Malaysia ke-12 (2021-2025) sebelum menginjak ke RMK13 bagi tempoh lima tahun akan datang.

Berdasarkan takwim Dewan Rakyat, pembentangan Rang Undang-Undang Perbekalan 2025 itu berlangsung pada 4 petang, 18 Oktober dan akan dibahas di peringkat dasar bermula 28 Oktober hingga 5 November sebelum jawapan oleh menteri-menteri selama empat hari.

Persidangan Dewan Rakyat kemudian diteruskan dengan perbahasan rang undang-undang itu di peringkat jawatankuasa bermula 13 November hingga 3 Disember untuk diluluskan Dewan Rakyat.