Nahas pelajar UiTM: Suspek tak pernah ganggu, cederakan orang - Jiran

Iklan
jeriji pintu utama kediaman keluarga suspek dikunci dengan mangga dan rantai besi.

DUNGUN - 'Saya terkejut sebab suspek dan keluarganya orang baik-baik,' luah jiran kepada seorang wanita yang merempuh dua motosikal hingga menyebabkan kematian tiga pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Dungun pada Rabu lepas.

Seorang jiran yang hanya mahu dikenali sebagai Nora berkata, suspek seorang jiran yang sangat baik dan tidak pernah mengganggu masyarakat sekitar seperti didakwa sesetengah netizen di media sosial.

Iklan
Iklan

"Saya boleh katakan dia dan keluarganya sangat baik dan tidak pernah menganggu orang lain. Selepas saya dapat tahu berita itu...saya sangat terkejut dan tak sangka ia berlaku.

"Selama berpuluh tahun berjiran, keluarga itu tidak pernah membuat masalah dan dia merupakan seorang wanita yang penyayang dan tidak pernah melakukan perbuatan yang mendatangkan keburukan atau menyusahkan penduduk sekitar," katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian ketika ditemui Sinar Harian di sebuah kampung di sini pada Sabtu.

Dalam pada itu, Nora menyatakan difahamkan wanita tersebut mengalami tekanan selepas kehilangan anak yang dikandung pada 10 tahun lepas.

Iklan

"Dia memang sakit selepas kehilangan anak tetapi tak pernah ganggu dan cederakan orang lain.

"Kejadian yang berlaku itu sangat mengejutkan kerana saya tahu dia tak pernah mencederakan sesiapa.

"Sebelum ini kalau dia pergi keluar mana-mana dari rumah akan ditemani suami dan anak-anaknya.

"Jadi saya mohon orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi dan dakwaan tidak benar tentang kejadian yang berlaku kerana tidak mengetahui apa sebenarnya yang terjadi," ujarnya.

Sementara itu, seorang jiran yang mahu dikenali sebagai Abu menyatakan kelibat keluarga mangsa tidak kelihatan sejak semalam.

"Sejak dari kes itu, nampak memang jarang ada orang keluar masuk dari rumah tersebut.

"Saya tak berani nak komen lebih-lebih...tetapi saya mendoakan keluarga jiran serta keluarga mangsa terlibat diberikan ketabahan hadapi ujian ini. Didoakan semua pihak mendapat keadilan dan pembelaan sewajarnya," ujarnya.

Usaha Sinar Harian untuk menemu bual keluarga suspek gagal apabila rumahnya di sebuah kampung di sini didapati berkunci.

Suasana di sekitar rumah suram malah jeriji pintu utama dikunci dengan mangga dan rantai besi.

Selepas menunggu satu jam, tiada kelibat keluarga suspek kelihatan keluar masuk dari kawasan rumah tersebut.

Sebelum ini, media melaporkan seorang wanita yang merempuh dua motosikal hingga menyebabkan kematian tiga pelajar UiTM Kampus Dungun, direman empat hari bermula Khamis.

Suri rumah yang mempunyai tiga anak dan dipercayai mengalami masalah mental itu tiba di Kompleks Mahkamah Kuala Terengganu di sini pada jam 9 pagi Khamis dalam keadaan seperti terpinga-pinga.

Selain itu, Timbalan Ketua Polis Terengganu, Datuk Wan Rukman Wan Hassan berkata, dalam kejadian pada 7.35 malam itu, tiga pelajar UiTM Kampus Dungun maut manakala seorang lagi rakan mereka parah selepas dua motosikal yang dinaiki mereka dirempuh suspek yang memandu kenderaan utiliti sukan (SUV) di Jalan Pantai, berhadapan UiTM Dungun.

Wan Rukman berkata, tiga mangsa yang meninggal dunia adalah Muhammad Akmal Md Tukirin, 25, dari Muar, Johor; Ku Adib Ku Azmi, 20, dari Sungai Buloh, Selangor dan Khairil Anwar Jamaludin, 20, dari Ampang, Selangor.

Manakala Muhammad Amar Danish Mohammad Ridhuan, 20, dari Kuala Lumpur cedera di pinggang dan sedang dirawat di Hospital Dungun.

-- TAMAT