Mekanisme e-waste diperkemas libatkan pemain industri, pihak berkepentingan

Iklan
Nik Nazmi (dua dari kanan) bersama Wan Abdul Latiff (dua dari kiri) ketika perasmian Karnival Jom E-Waste 2024 bertempat di AEON AU2, di sini pada Sabtu. Foto Sinar Harian

KUALA LUMPUR - Mekanisme pengurusan sisa elektrik dan elektronik (e-waste) yang mengadaptasi konsep Peluasan Tanggungjawab Pengeluar (EPR) serta ‘Shared Responsibility’ bakal diperkemaskan melibatkan pemain industri serta pihak berkepentingan.

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, antara pihak yang terlibat adalah pengeluar, pengimport, pengguna dan pusat pengumpulan serta pemerolehan e-waste berdaftar di bawah Jabatan Alam Sekitar (JAS).

Iklan
Iklan

Menurut ahli Parlimen Setiawangsa itu, pihaknya juga giat menjalankan sesi libat urus supaya pihak berkenaan sedia berdepan dengan mekanisme pengurusan tersebut apabila ia digubal dan dikuatkuasakan kelak.

"Ini langkah untuk mewujudkan sistem pengurusan e-waste yang holistik di negara ini.

Iklan

"Berdasarkan laporan dikeluarkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 2021, setiap individu secara purata menghasilkan 7.6 kilogram (kg) e-waste dengan jumlah keseluruhan 57.4 juta tan metrik dihasilkan di seluruh dunia.

"Keadaan ini membimbangkan kerana hanya 17.4 peratus e-waste yang dilaporkan dikitar semula atau dilupuskan secara mesra alam melalui Environmentally Sound Management (ESM).

Iklan

"Malaysia juga berdepan cabaran sama dengan trend penghasilan e-waste dijangka mencecah 24.5 juta unit menjelang 2025. Namun, hanya satu peratus yang berjaya dikumpulkan sehingga kini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Karnival Jom E-Waste 2024 sempena Hari E-Waste Antarabangsa yang bertempat AEON AU2, di sini pada Sabtu.

Hadir sama, Ketua Pengarah JAS, Datuk Wan Abdul Latiff Wan Jaafar; Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JAS, Dr Norhazni Mat Sari; Pengarah Bahagian Komunikasi Strategik JAS, Azuri Azizah Saedon dan beberapa pegawai kanan jabatan berkenaan.

Rakan korporat yang hadir memeriahkan karnival terdiri daripada Prasarana Berhad, Petroliam Nasional Berhad (Petronas), Cenviro Sdn Bhd, Shan Poornam Metals Sdn Bhd, Air Selangor, Micron, Durioo+ dan lain-lain.

Nik Nazmi juga memaklumkan, kerajaan berhasrat ingin memperbanyakkan pusat pengumpulan e-waste di lokasi yang lebih hampir dengan komuniti memandangkan hanya 251 premis berdaftar di bawah JAS setakat ini.

Tambah beliau, inisiatif tersebut memudahkan orang ramai untuk menghantar e-waste isi rumah di lokasi berdekatan, malah pendekatan sedemikian dapat mengelakkan pengguna daripada berurusan dengan premis haram yang mengaut keuntungan tanpa memikirkan impak buruk terhadap alam sekitar.

"Sehingga kini, terdapat 251 pusat dan tempat pengumpulan e-waste berdaftar serta 64 kemudahan pemerolehan kembali dalam negara.

"Justeru, saya yakin penggiat industri, badan korporat dan sektor swasta akan terus komited bersama kerajaan dalam mencapai indikator ditetapkan di bawah Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) 2030 serta Prinsip Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG).

"Kerajaan melihat perkembangan positif apabila semakin banyak syarikat di Malaysia memberikan perhatian serius terhadap SDG dan ESG dalam operasi perniagaan masing-masing,” ujarnya.