Segera tingkatkan dana 5 peratus untuk kesihatan awam - MMA

Iklan
Kalwinder ketika ditemui selepas Majlis Sambutan Hari Doktor di Kuala Lumpur pada Sabtu.

KUALA LUMPUR - Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) berharap kerajaan segera meningkatkan peruntukan lima peratus daripada hasil Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) kepada bidang kesihatan.

Presidennya, Datuk Dr Kalwinder Singh Khaira berkata, perkara itu sudah lama dibangkitkan bagi mengatasi pelbagai masalah yang melanda perkhidmatan penjagaan kesihatan awam ketika ini.

Iklan
Iklan

"Sudah tentu ia boleh dilakukan secara berperingkat, namun lebih baik disegerakan supaya dana dapat disalur untuk menjaga kesejahteraan pesakit dan kebajikan pegawai kesihatan.

"Sebelum ini, kebanyakan dana digunakan untuk membina hospital baharu tetapi kita lupa golongan profesional seperti doktor juga terperangkap pada satu skala sahaja," katanya ketika ditemui selepas merasmikan Majlis Sambutan Hari Doktor di sini pada Sabtu.

Iklan

Dalam pada itu, beliau menjelaskan, kesihatan mental golongan pegawai kesihatan menjadi perhatian pihaknya susulan ramai yang dilaporkan terbeban dengan tugas masing-masing.

Kalwinder bersama barisan pegawai tertinggi Persatuan Perubatan Malaysia sempena sambutan Hari Doktor di Kuala Lumpur pada Sabtu.

Iklan

Justeru beliau berharap kerajaan terutama Kementerian Kesihatan (KKM) mengambil maklum berkenaan beberapa tuntutan yang disuarakan supaya dapat diselesaikan segera.

"Menjaga kesejahteraan mental petugas kesihatan amat penting kerana mereka perlu berdepan berbagai jenis pesakit.

"Oleh itu kita harus kawal dan sesuaikan mereka dengan persekitaran di tempat kerja serta memastikan bilangan doktor di semua hospital mencukupi bagi menampung jumlah pesakit yang semakin meningkat," ujarnya.

Sementara itu, menjelang pembentangan Belanjawan 2025, Kalwinder berharap kerajaan dapat memberi penekanan terhadap pembangunan dan penjagaan kebajikan kakitangan kesihatan.

"Walaupun dalam Kertas Putih (Kesihatan) dilaporkan wujudnya keperluan meningkatkan bajet dalam bidang kesihatan awam, tiada tempoh masa diberikan.

"MMA harap keperluan itu dapat direalisasikan dalam tempoh tiga hingga lima tahun akan datang supaya pemain industri dapat membuat perancangan pada masa hadapan," jelasnya.