KUALA LUMPUR - Malaysia masih dijadikan ‘tempat pembuangan’ atau transit e-waste haram berikutan China mengetatkan kemasukan sisa buangan tersebut ke dalam negaranya.
Justeru, Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, isu tersebut menjadi keutamaan dan akan cuba ditangani oleh kementerian serta Jabatan Alam Sekitar (JAS) sebaik mungkin.
Bagaimanapun, menurutnya, sebanyak 436 kontena berjaya ditahan daripada memasuki pintu masuk negara antara 2020 hingga tahun ini.
Jelasnya lagi, usaha membanteras kemasukan e-waste haram ke dalam negara bertepatan dengan Konvensyen Basel.
"Ini kerana konvensyen terbabit menetapkan pergerakan rentas sempadan bahan buangan terjadual perlu mendapat kelulusan sebelum aktiviti transit, import dan eksport atau penghantaran dijalankan.
"Sebanyak 88 kontena ditahan pada 2020 manakala 76 (2021), 30 (2022), 47 (2023) dan 195 (2024),” katanya ketika sidang media selepas perasmian Karnival Jom E-Waste 2024 di AEON AU2 Setiawangsa, di sini pada Sabtu.
Nik Nazmi turut memaklumkan, pihaknya juga mengadakan kerjasama dengan badan bukan kerajaan (NGO), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), pihak berkuasa tempatan (PBT) dan lain-lain berhubung langkah pemeriksaan atau kawalan kemasukan e-waste dari negara luar.
"Sebelum ini, kita pernah adakan operasi gempur di Pelabuhan Klang dan kilang e-waste haram di Kedah.
"Alhamdulillah kita dapat melakukan usaha ini dengan giat dan di peringkat JKDM, mereka meningkatkan pemeriksaan untuk memudahkan kita mengatasi masalah berkenaan.
"Selain itu, saya juga ada bertemu dan berbincang dengan Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan untuk memperkasakan JAS serta menjadikannya sebagai barisan hadapan.
"Apa pun, kita nantikan sahaja dapatannya semasa Belanjawan 2025 yang akan dibentangkan pada 18 Oktober depan,” katanya.