Ibu, anak dan pasangan suami isteri antara dicekup curi kabel

Iklan
Anggota Balai Polis Bukit Jelutong mengesan kenderaan yang mencurigakan di kawasan Hicom Glenmarie Industrial Park, Shah Alam, pada Jumaat, dan membongkar kegiatan curi kabel. (Gambar kecil: Mohd Iqbal)

SHAH ALAM - Rondaan cegah jenayah anggota Balai Polis Bukit Jelutong membongkar kegiatan curi kabel di kawasan Hicom Glenmarie Industrial Park di sini, pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, kegiatan jenayah itu dikesan kira-kira jam 4.30 pagi selepas rondaan anggota melihat dua kereta yang mencurigakan.

Iklan
Iklan

Katanya, pemeriksaan mendapati sebuah kereta dinaiki seorang lelaki, manakala sebuah lagi dinaiki empat individu termasuk dua wanita.

"Pemeriksaan ke atas dua kenderaan itu menjumpai sejumlah kabel milik Syarikat Telekom Malaysia Berhad yang dipercayai dicuri. Turut ditemui beberapa peralatan memotong kabel," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Iklan

Antara kabel dan peralatan yang ditemui dalam kenderaan suspek.

Beliau berkata, siasatan mendapati dua suspek merupakan pasangan suami isteri selain dua lagi ialah ibu dan anak.

Iklan

Tambah Mohd Iqbal, semakan tiga suspek juga didapati memiliki rekod jenayah lampau.

"Ujian saringan air kencing juga mengesahkan dua suspek positif dadah.

"Tindakan reman bermula Sabtu terhadap tiga suspek dibenarkan selama tiga hari, manakala dua lagi suspek direman dua hari," ujarnya.

Tegasnya, kesemua suspek berusia 24 hingga 47 tahun disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan dan mana-mana individu yang mempunyai maklumat lanjut boleh menghubungi Penolong Pegawai Penyiasat Jenayah, Sarjan Ayu Asliza Otman di talian 019-3994871.