GISBH: 'Ada pelajar menangis ketika kopiah mereka diambil'

Iklan
Muhamad Hafiz meluangkan masa meraikan salah seorang pelajar yang diraikan dalam Majlis Konvokesyen Kolej Hafiz ke-21 di Grand Centro Ballroom pada Sabtu.

KLANG - Persatuan Institusi Tahfiz Al-Quran Negeri Selangor (PITAS) terlibat secara langsung bersama Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) membantu pengajian hafazan dan bacaan al-Quran pelajar yang diselamatkan dari pusat tahfiz di bawah GISB Holding Sdn Bhd (GISBH).

Pengerusi PITAS, Muhamad Hafiz Muhamad Haneefa berkata, pihaknya berdepan cabaran mendidik kanak-kanak berkenaan susulan didedahkan dengan ajaran Aurad Muhammadiah menunjukkan ketaksuban terhadap tok guru mereka.

Iklan
Iklan

Menurutnya, ada antara pelajar menangis ketika kopiah mereka diambil kerana kepercayaan kopiah digunakan mempunyai berkat daripada abuya dan tidak boleh diganti.

"Apa yang saya boleh katakan kebanyakan kanak-kanak ini hafazannya bagus. Itu kelebihan yang ada pada mereka.

Iklan

"Mereka menjaga waktu solat, bangun solat malam dan itu kita tidak boleh nafikan bahawa mereka mempunyai akhlak yang baik cuma ada isu akidah dan kefahaman yang perlu dikemas kini," katanya ketika ditemui pada Sabtu.

Turut diadakan Anugerah Kualiti Cemerlang 2024 Maahad/Kolej Tahfiz meraikan lebih 30 graduan diploma, 35 pelajar yang berjaya menghabiskan hafazan 30 juzuk serta pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Iklan

Perasmiannya disempurnakan oleh Exco Hal Ehwal Agama Islam Selangor, Dr Mohammad Fahmi Ngah.

Mohammad Fahmi (tengah) bergambar bersama barisan pengurusan Kolej Tahfiz serta pelajar yang diraikan.

Muhamad Hafiz berkata, kelas itu bagi memastikan pelajar terbabit dapat meneruskan pengajian selepas arahan penutupan tahfiz di bawah GISBH.

"Kita sudah masuk minggu kedua, guru PITAS seramai 20 orang membantu hampir 300 berumur tiga hingga 18 tahun bagi pengajian iqra dan al-Quran dengan kelas bermula pukul 2 hingga pukul 4 petang Isnin hingga Jumaat.

"Dengan adanya program seperti kita ingin menunjukkan kepada masyarakat bahawa pelajar-pelajar ini perlu diraikan bersama masyarakat luar, terlibat dengan aktiviti ko-kurikulum dan dakwah, bukan hanya tertutup kepada tempat khusus sahaja.

"Mudah-mudahan apabila mereka keluar, mereka dapat menyebarkan dakwah dengan lebih baik," katanya.

Selain itu katanya, pelajar terlibat turut mengikuti pembelajaran lain disediakan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), kelas akidah melibatkan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan jabatan mufti.

Beliau memaklumkan, tempoh pengajian tidak dapat dipastikan bergantung kepada keadaan serta keputusan mahkamah kelak.