PONTIAN - Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan memberi jaminan bahawa bekalan beras di pasaran tempatan adalah mencukupi meskipun banjir melanda Kedah serta Perlis sehingga menjejaskan kira-kira 6,000 hektar kawasan pengeluaran padi negara.
Menteri berkenaan Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, ini kerana Malaysia telah memeterai perjanjian dengan beberapa negara pengeluar beras antaranya India dan Pakistan bagi tujuan import untuk memastikan bekalannya adalah mencukupi.
"Baru-baru ini, apabila Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) melawat India, kita ditawarkan tambahan (import) 200,000 tan beras lagi. Pakistan juga tawarkan beras putih,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Santuni Madani dan Majlis Pecah Tanah Tapak Agropelancongan Kampung Parit Jerman di sini pada Sabtu.
Beliau berkata, Malaysia turut mengimport beras dari Thailand dan Vietnam.
Banjir yang berlaku di Kedah dan Perlis baru-baru ini dianggar menyebabkan kerugian mencecah RM40 juta kepada pesawah.
Mohamad juga berkata, terdapat potensi besar bagi sektor pertanian nanas negara berdasarkan permintaan tinggi eskport untuk komoditi itu.
Beliau berkata ketika ini, Malaysia hanya mampu membekalkan 800 kontena atau 17,600 tan nanas bagi eksport berbanding permintaan 4,000 kontena atau 88,000 tan.
"Ertinya (kita) hanya (dapat bekalkan) satu per lima daripada permintaan luar negara. Ia boleh menjadi satu komoditi (penting) negara pada masa akan datang.
"Kita harap nanas akan jadi seperti durian... jadi kita kena berusaha untuk menaikkan industri nanas ini,” katanya.
Program Santuni Madani di Kampung Parit Jerman adalah bagi memperkenal dan mempromosi kampung itu sebagai destinasi agropelancongan berasaskan industri nanas. - Bernama