Kursus Integriti Anti Rasuah wajar diperluas ke universiti tempatan

Iklan
Laporan Sinar Harian. (Gambar kecil: Abdul Rahman Solehuddin)

SHAH ALAM - Institut pengajian tinggi awam (IPTA) dan swasta (IPTS) di negara ini wajar mengikut langkah Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang mewajibkan lebih 4,000 penuntut mengikuti Kursus Integriti Anti Rasuah (KIAR).

Setiausaha Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Kedah, Abdul Rahman Solehuddin Mohd Zain berkata, usaha tersebut merupakan salah satu kaedah memperkasakan integriti dalam diri anak muda yang bakal mewarisi kepimpinan negara.

Iklan
Iklan

"Saya ucapkan tahniah kepada UiTM atas inisiatif yang cukup bagus dan luar biasa ini.

"Siapa lagi masyarakat nak harapkan selain daripada anak-anak muda atau mahasiswa yang cergas dan cerdas untuk mengangkat kembali darjat negara serta bangsa daripada kemunduran akibat rasuah,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Sabtu.

Iklan

UiTM pada Khamis lalu mengumumkan pelaksanaan KIAR membabitkan lebih 4,000 penuntut semester tiga tahun ini di universiti berkenaan.

Pelaksanaan kursus tersebut bermula pada Oktober sehingga Februari tahun hadapan sempena Hari Bertemu Pelanggan Pusat Kokurikulum UiTM Shah Alam.

Iklan

Dalam pada itu, Abdul Rahman tidak menafikan tahap kesedaran mengenai rasuah dalam kalangan masyarakat terutama golongan belia masih kurang memuaskan.

"Kita tidak boleh membiarkan anak muda semakin lupa dan tidak mengendahkan masa depan negara. Generasi ini akan memimpin negara dengan cemerlang jika memiliki nilai integriti yang tinggi.

"Namun, saya kira pihak berwajib perlu mengambil berat soal silibus yang tepat serta kesediaan masyarakat khususnya golongan belia untuk menghadam inti pati daripada usaha ini,” jelasnya.

Ujar beliau, masyarakat perlu menginsafi Rukun Negara seperti mempunyai asas ‘ketuhanan dan kesetiaan’ yang mendalam supaya gejala terkutuk itu dapat dibanteras serta membina bangsa yang berintegriti.